Pungutan suara tolak BN, Pas bersamaTun M kekang Anwar, DAP
PUNGUTAN suara yang dilakukan di Facebook Ketua Pergerakan UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuku menolak cadangan BN dan Pas untuk bersama-sama Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mengekang penguasaan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan.
Pungutan suara yang dilakukan sejak Isnin lalu itu mendapat 102,000 undi dengan 56 peratus berpendapat tidak wajar untuk BN dan Pas yang kini membentuk kerjasama Muafakat Nasional untuk bersama-sama dengan Dr. Mahathir.
Menurut Dr. Asyraf Wajdi, tiga kesimpulan boleh dibuat terhadap 10,000 komen yang diterima daripada pungutan suara yang dilakukannya.
“Rakyat marah dan menolak Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
“Rakyat tidak mahu Muafakat Nasional menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak seandainya ia ada kaitan dengan DAP.
“Rakyat mahukan Muafakat Nasional (Penyatuan UMNO dan PAS) diperkasa dan diperkukuhkan bagi mewakili suara rakyat tanpa menjadi alat mana-mana pihak!” kata Asyraf Wajdi.
Beberapa sumber menyatakan, UMNO dijangka akan memuktamadkan isu kerjasama dengan Bersatu dan cadangan pembentukan kerajaan campuran hari ini. Dua mesyuarat akan berlangsung bagi membincangkan perkara itu.
Malaysiakini melaporkan, spekulasi mengenai kerajaan campuran membabitkan Bersatu, Umno dan PAS tercetus sejak 3 Februari lalu apabila Anggota Majis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendedahkan mengenainya.
Lokman tampil membidas presidennya sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pula dalam kenyataannya semalam berkata ‘lamaran’ terhadap Umno perlu dibawa ke meja perbincangan terlebih dahulu.
Beliau berkata, beberapa perkara perlu dipertimbangkan, antaranya tujuan kerjasama itu sama ada iklhas atau strategik untuk penetingan bangsa, agama dan parti atau sebaliknya.
Semalam, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata, beliau mahu sokongan dan kesediaan UMNO dan PAS untuk bekerjasama dengannya diterjemahkan ketika di Parlimen.
Dengan nada seloroh, beliau berkata, sokongan mana-mana pihak membuatnya ‘melayang-layang’ (floating) Katanya, beliau memberitahu pemimpin kedua-dua parti itu, mereka boleh menyokongnya.
“(Sokongan) di Parlimen, ketika kita melakukan sesuatu yang baik, saya rasa mereka seharusnya menyokong. Bukan hanya menolak dengan membuta tuli,” Dr. Mahathir.-SM