PERARAKAN pedati perak yang berusia lebih 100 tahun dan pedati emas yang baharu adalah kemuncak perayaan tahunan Thaipusam selama tiga hari di negeri itu.
Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan mengenai bagaimana sambutan Thaipusam tahun depan dalam situasi pandemik Covid-19.
“Keutamaan kami adalah keselamatan semua penganut kerana pedati itu yang menarik orang ramai, apabila ada perarakan pedati, orang ramai sukar dikendalikan. Kami tidak mahu perhimpunan Thaipusam mencetuskan kluster baharu,” katanya kepada BERNAMA hari ini.
Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang berkata, PHEB akan mempertimbangkan perkara itu dengan teliti demi kepentingan orang ramai.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terperinci mengenai perayaan Thaipusam akan dikeluarkan pada minggu pertama Januari selepas perbincangan dengan Jabatan Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). – SM