MahkamahNasional

PU Azman minta ‘main belakang’

SAKSI ke-10 perbicaraan kes amang seksual membabitkan PU Azman Syah Alias, 42, hari ini, menggunakan perkataan ‘liwat’ bagi menggambarkan perbuatan ‘main belakang’ seperti yang diceritakan mangsa.

Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Fung, 40, berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Datin Surita Budin ketika prosiding hari keempat di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan.

Terdahulu, dalam keterangannya, Firdaus memberitahu mahkamah bahawa dua mangsa menceritakan kejadian itu ketika satu perjumpaan di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor pada 27 Ogos 2022 yang mana Azman meminta untuk diliwat.

Menurutnya, pada perjumpaan pertama di SACC, di Shah Alam, pada 17 Ogos 2022, salah seorang mangsa tidak menceritakan mengenai kejadian liwat berkenaan namun remaja itu membuka mulut pada pertemuan kedua kerana baru mengingatinya.

“Saya tanya kepada mangsa, adakah Cik Man (Azman) minta untuk diliwat? Pada perjumpaan di SACC, dia kata tak ada tetapi pada perjumpaan di Acapella pada 27 Ogos, selepas seorang lagi mangsa cerita bagaimana Cik Man ada minta liwatnya di rumah Cik Man di Sendayan.

“Pada waktu itu, mangsa mencelah dan berkata ‘Uncle, saya ingat balik, saya pun ada’. Saya bertanya kepada mangsa kenapa pada perjumpaan pertama kata tak ada, mangsa memberitahu dia baru kemalangan, kepala masih sakit. Kalau ingat banyak sangat kepala akan sakit sangat,” katanya, hari ini.

Norman bertanya bagaimana kejadian liwat itu berlaku, Firdaus memberitahu yang mangsa menceritakan mereka dipujuk tertuduh.

“Yang saya ingat seorang mangsa beritahu, ketika dia sedang mandi di rumah Cik Man, tertuduh mengetuk pintu bilik air dan memintanya untuk buka dan berkata ‘tak kan dengan ayah pun nak malu’, kerana itu bahasa yang digunakan.

“Kemudian mangsa keluar bilik air dengan bertuala tetapi Cik Man kemudian minta ‘main’,” katanya.

Firdaus juga memaklumkan, mangsa menggunakan perkataan ‘main’ ketika menceritakan kejadian itu kepadanya.

Namun dia menggunakan perkataan ‘liwat’ bagi menggambarkan perbuatan itu ketika memberi keterangan di mahkamah.

Bagaimanapun, pada penghujung prosiding, Hakim Surita bertanya, bagaimanakah Firdaus mendefinisikan perkataan ‘main’ itu sebagai ‘liwat’, Firdaus memaklumkan mangsa ada menggunakan ayat ‘main belakang’ ketika menceritakan kejadian itu kepadanya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi, Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung manakala tertuduh diwakili Peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman.

Pada 12 Oktober 2022 , PU (Pencetus Ummah) Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai tahun lalu.

Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang. – HARIAN METRO – SM

BACA PU Azman atau Cik Man didakwa atas lima tuduhan amang seksual

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button