PRU15 bukan sahaja medan pilih wakil rakyat tetapi Kerajaan yang berfungsi – Young Syefura
BENTONG: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, bertekad untuk membela mangsa banjir di kawasan itu jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Beliau yang juga dikenali sebagai Rara berkata, biarpun kerajaan negeri dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebelum ini menjanjikan bantuan, masih ada mangsa yang belum menerima pembelaan sewajarnya.
“Ada penduduk yang menunggu lebih 10 bulan tanpa sebarang khabar berita mengenai perkembangan bantuan ini.
“Selain itu, ada juga yang menyampaikan kepada kami bahawa bantuan yang diberikan tidak mencukupi berbanding kerosakan yang dialami,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, berkata PH menawarkan bantuan banjir sehingga RM50,000 bagi setiap rumah yang terkesan, menerusi Tawaran Harapan jika PH berjaya membentuk kerajaan pada pilihan raya umum ini.
Young Syefura berkata, pihaknya juga akan menambah baik kesiapsiagaan banjir dan bencana, dengan memperkukuhkan operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan menyelaras tindak balas di setiap peringkat kerajaan bagi usaha mencegah, menyelamat, menyalur bantuan dan mengurus pemulihan, jika diberi mandat.
“Jelas sekali, PRU15 ini bukan sahaja medan untuk memilih wakil rakyat yang berkhidmat dan berwibawa, tetapi juga peluang untuk memilih kerajaan yang berfungsi dan mengambil berat mengenai nasib dan kebajikan rakyat.
“Oleh itu, kami menyeru rakyat beramai-ramai mengundi pada 19 November ini untuk memenangkan calon PH di kerusi Parlimen dan DUN supaya kita boleh sama-sama merealisasikan tawaran yang diumumkan demi membina Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya.
Pada PRU15, Young Syefura akan berentap dengan empat pesaing iaitu penyandang Parlimen Bentong, Wong Tack, yang bertanding atas tiket Bebas; Tan Sri Liow Tiong Lai mewakili Barisan Nasional (BN); Datuk Roslan Hassan, Perikatan Nasional (PN) dan Mohd Khalil Abdul Hamid (Bebas).