Projek RMR di Masjid Tanah terbengkalai lama
HARAPAN pemohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah
untuk berhari raya di kediaman baharu tinggal impian apabila kontraktor projek mengabaikan kerja-kerja menyiapkan bangunan rumah mereka sejak hujung November lalu.
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang menguruskan perlantikan kontraktor dan agihan projek, membiarkan pemohon rumah terkapai-kapai mencari jawapan konkrit bila rumah separuh siap itu dapat dibina dan diserahkan kepada pemilik.
Akibatnya para pemohon terdiri dari kategori B40 yang sebahgaian besarnya menyara hidup sebagai pekebun dan bekerja sendiri terpaksa mengadu ke sana-sini untuk mendapatkan jawapan dari pihak yang bertanggungjawab
“Jika kami rakyat berkemampuan, tentu kami tidak menyerahkan geran tanah dan terikat dengan syarat bayaran dan kelayakan permohonan rumah mesra rakyat ini, tapi inilah cabaran yang dihadapi dan ia mengecewakan,” jelas Jamiah Isnin, 52.
Jamiah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia bersama adiknya memohon dua unit rumah RMR dibina di tanah milik keluarganya sebelum wabak Covid-19 melanda negara.
Projek di bawah SPNB ini terbengkalai lebih 50 peratus sejak bulan November tahun lalu setelah kontraktor dilantik menyiapkan hanya sekitar 50 peratus kerja binaan bangunan.
Katanya, dia telah menghubungi pejabat SPNB Melaka untuk mengetahui masalah yang dihadapi tetapi jawapan yang diberi sangat mengecewakan.
Seorang lagi pemohon, Norfatiah Ibrahim, 40, berkata, rumahnya terbiar tergendala sejak penghujung tahun lalu dan sehingga kini rumah tiga bilik bernilai sekitar rm80,000 itu masih tidak dapat disiapkan.
Katanya, dia masih tinggal di rumah keluarga untuk membesarkan tiga anak yang masih belajar dengan berniaga sendiri sejak beberapa tahun lalu.
“Memiliki rumah sendiri lebih selesa dalam merencana masa depan keluarga. Sebagai ibu tunggal memang saya hendak mendiami rumah sendiri tetapi semuanya hampa kerana projek terbengkalai,” ujarnya.
Bagi seorang lagi pemohon, Zainon Othman, 52, merayu pihak kerajaan supaya melihat masalah ini sebagai keutamaan dan membantu menyelesaikan masalah rumah RMR yang terbengkalai.
“Saya bimbang alasan kontraktor tidak dapat menyiapkan rumah disebabkan kenaikan harga bahan binaan. Sepatutnya, rumah ini siap awal tetapi sengaja dilengah-lengahkan,” ujarnya.
Dia turut kesal apabila membuat aduan kepada SPNB Melaka tetapi tidak diambil sebarang tindakan segera malah sehingga kini tiada jawapan rasmi diberikan. – SM Melaka