Nasional

Bekas wartawan usahakan dodol asli gula Melaka

Tidak melekat dijari tetapi melekat dihati

TIDAK melekat dijari tetapi melekat dihati itulah keunikan rasa Amran Dodol Asli Gula Melaka resipi arwah ibu buat bekas pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan, Amran Ali, 48, di Kampung Pernu dekat sini.

Tanpa menggunakan bahan pengawet, dodol yang diadunkan dengan gula melaka dan santan berkualiti menjadikan makanan tradisional orang Melayu khususnya sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri antara paling digemari kerana keenakan rasanya.

Tidak hairanlah sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini memberi rezeki tambahan kepada bekas wartawan akhbar Sinar Harian itu yang mengusahakan dodol warisan arwah ibunya di Kampung Pernu dekat sini.

Amran berkata, sejak awal Ramadan sehingga sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dia telah menerima tempahan mencecah 1 tan metrik.

Menurutnya, hampir setiap malam Ramadan lalu dia dibantu tiga anak saudara memasak dodol sebanyak 40 kilogram (kg) bagi memenuhi permintaan daripada syarikat-syarikat serta individu.

Dia berkata, tahun ini permintaan terhadap jenama Amran Dodol Asli Gula Melaka sangat tinggi jika hendak dibandingkan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19.

“Saya mula menerima tempahan sebulan sebelum Ramadan daripada syarikat-syarikat dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor termasuk dari negeri ini juga.

“Alhamdulillah rezeki Aidilfitri tahun ini paling bermakna dodol yang saya usahakan menggunakan resipi arwah emak sejak lebih 25 tahun makin mendapat sambutan.

“Tak menang tangan memasak dodol menggunakan satu kawah setiap malam selama 30 hari termasuk malam hari raya. Saya hanya mampu masak 40kg setiap malam walaupun ada permintaan itu sahaja mampu saya lakukan,” ujarnya.

Amran berkata, dodol yang menggunakan resipi arwah ibunya tidak menggunakan sebarang bahan pengawet dan dapat menghasilkan makanan tradisional menggunakan seratus peratus gula melaka dan santan berkualiti.

Katanya, berbanding dodol lain berada di pasaran banyak menggunakan bahan pengawet tetapi tidak mempunyai rasa sebenarnya.

“Keunikan dodol ini kerana tidak melekat dijari sebaliknya melekat di hati mereka yang menjamahnya,” ujarnya.

Ujarnya, dia menjual dodol warisan ibunya pada harga RM28 sekilogram jauh lebih rendah berbanding dodol di pasaran hingga mencecah RM40.

Sepanjang Aidilfitri ini, jelasnya, dia masih menerima tempahan khususnya syarikat-syarikat atau individu yang hendak menganjurkan majlis rumah terbuka.

Bagi yang berminat untuk merasa dan menempah Amran Dodol Asli Gula Melaka boleh menghubungi di talian 016-3335379. – SM Melaka

(Visited 1,217 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button