Projek pembalakan RM27 juta, tiga termasuk Datuk ditahan SPRM
TIGA individu termasuk seorang berpangkat Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta.
Menurut sumber, individu berpangkat Datuk itu merupakan bekas ahli lembaga pengarah syarikat berusia 73 tahun itu direman selama tiga hari bermula hari ini..
“Dua lagi individu yang merupakan pengarah syarikat berusia 39 dan 57 tahun itu direman selama empat hari mulai hari ini,” katanya.
Menurutnya, perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
BACA> Tiga penguatkuasa MBSA direman
Jelas sumber, mereka ditahan ketika memberi keterangan di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, lewat petang semalam.
“Mereka ditahan atas kesalahan memberi dan menerima rasuah berjumlah RM3 juta.
“Kes berhubung pengambil alihan projek pembalakan seluas 6,591.67 ekar di salah satu daerah di Pahang pada 2015,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. -SM