Nasionalpilihan

Projek air Perak-Pulau Pinang jamin keperluan pengguna SPS, pusat pembangunan

PROJEK Air Perak-Pulau Pinang bukan hanya akan memanfaatkan tiga negeri di utara Semenanjung, malah keperluan 32,993 pengguna di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang kini terjejas juga akan lebih terjamin.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang menyifatkan projek itu sebagai sangat penting berkata ia turut memanfaatkan pusat-pusat pembangunan sedia ada, sedang dalam proses dan yang bakal diwujudkan kelak.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) amat mengalu-alukan perkembangan terbaru Projek Air Perak-Pulau Pinang yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Pada pengumuman berkaitan, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa kerajaan negeri Perak telah bersetuju untuk menyediakan bekalan air dari Perak melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berharap projek yang telah tertangguh selama 13 tahun itu akan dapat direalisasikan bagi memastikan kelestarian pembekalan air kepada rakyat negeri itu.

Semalam, Anwar memaklumkan bahawa Perak telah bersetuju membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai dan perkara itu dipersetujui Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Penyaluran bekalan air bagi fasa pertama projek tersebut akan sampai ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap, dekat sini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button