Program vaksinasi Covid-19 besar-besaran selepas Jun
MALAYSIA dijangka mampu melaksanakan program vaksinasi Covid-19 secara besar-besaran selepas Jun ini apabila mula menerima bekalan vaksin secara lebih stabil dan mencukupi.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, pada masa ini kerajaan terus berusaha memastikan bekalan vaksin tiba lebih cepat.
Katanya, masalah pada masa ini adalah jumlah penghantaran vaksin masih rendah.
“Buat masa ini, permintaan bagi vaksin mengatasi penawaran, namun apa yang paling penting data menunjukkan Malaysia akan mempunyai cukup bekalan bagi memastikan negara mencapai sasaran 80 peratus penduduk divaksin sebelum akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khairy, itu berdasarkan kepada portfolio sedia ada dan rancangan yang diumumkan pada Februari.
Katanya, kerajaan sedar semua orang mahu mendapatkan vaksinasi COVID-19 dan pada masa sama, saya juga ingin menguruskan jangkaan dengan realiti ketersediaan vaksin ini.
Sehubungan itu, katanya orang ramai diminta terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan dalam tempoh beberapa bulan akan datang mereka akan mendapat notifikasi di aplikasi MySejahtera atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai temujanji vaksinasi. – SM