Nasional

Program Subsidi Petrol sepatutnya dilaksana Januari ini ditangguh

PELAKSANAAN Program Subsidi Petrol (PSP) yang sepatutnya bermula empat hari lagi iaitu pada 1 Januari ditangguhkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, Mesyuarat Kabinet pada 18 Disember lalu mengambil keputusan bahawa pelaksanaan PSP pada 1 Januari ini tidak dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.

“Hal ini bagi memberi ruang untuk sesi penerangan dan penjelasan diteruskan dengan tujuan memberi kefahaman dan mempersiapkan rakyat menerima pelaksanaan program PSP ini.

“Proses pendaftaran penerima daripada kelompok M40 yang akan dikendalikan oleh Kementerian Kewangan,” kata Saifuddin Nasution dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan pada 7 Oktober lalu mengumumkan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) bermula 1 Januari 2020 sesuai dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

Program Subsidi Petrol adalah inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isirumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

Ia adalah satu bentuk bantuan kewangan untuk membantu rakyat membiayai sebahagian kos penggunaan petrolnya.

Prinsip bantuan yang hendak disampaikan oleh kerajaan ialah melalui pengagihan semula subsidi yang saksama dan dasar berpandukan data.

Subsidi petrol sedia ada secara pukal yang dinikmati oleh semua orang tanpa mengira kerakyatan dan pendapatan akan diubah kepada golongan sasar yang layak, iaitu warganegara Malaysia yang sangat memerlukan bantuan tersebut.

Sejumlah RM 2.4 billion diperuntukan bagi PSP dalam Belanjawan 2020 dengan jumlah penerima manfaat seramai 8 juta orang daripada kelompok B40 dan M40.

Menurut Saifuddin, sementara menunggu pengesahan pelaksanaan PSP diumumkan, rakyat akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada. -SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button