Program realiti papar kerjaya mekanik kenderaan, tawar hadiah bernilai RM1 juta
RAMAI sebenarnya yang tidak begitu tahu berkenaan dengan kerjaya mekanik kenderaan dan sering menganggap kerjaya tersebut sebagai bukan kerjaya utama.
Namun, untuk menarik minat belia untuk mengenali lebih dekat berkenaan dunia automotif dan kerjaya sebagai mekanik, satu program realiti berjudul TV Master Auto – The Mechanic bakal diterbitkan pada September depan.
Pengarah Kemahiran Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Mohd Iqbal Mohd Noor berkata, program tersebut bertujuan mempromosi latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khususnya bidang automotif serta menarik minat belia untuk menceburi bidang ini.
“Program ini dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap industri automotif dan lebih optimistik terhadap kerjaya mekanik kenderaan.
“Program ini juga dilihat akan melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang Automotif dan menyediakan peluang untuk mengembangkan potensi kemahiran belia.
“Usahawan juga akan terlahir dari program ini memandangkan hadiah pusat pembaikan sehenti kepada pemenang bernilai sehingga RM1 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis pelancaran Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua (IKTBN) Dusun Tua sebagai lokasi pengambaran rasmi program tersebut baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Merpati World Holdings Berhad, Datuk Seri Zainal Abidin A Hamid berkata, pihaknya bersetuju untuk menjadi penaja kepada program ini kerana melihat bidang mekanik sebagai sesuatu segmen yang luas dan berpotensi.
“Saya yakin program realiti tv pertama Master Auto – The Mechanic Malaysia ini akan menjadi satu perintis anak muda ke arah kerjaya mekanik yang cerah di masa hadapan.
“Saya juga dimaklumkan sudah ada beberapa stesen TV yang berminat untuk bersama kita dan sedang didalam perbincangan peringkat akhir,” katanya. -SM