Program Permata: Lid tidur ke masa PH jadi kerajaan, sindir Najib
AHLI Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad disindir sebagai ‘tidur’ apabila cuba ‘mengenakan’ Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan Program Permata Negara.
Najib yang juga bekas perdana menteri yang memperkenalkan Porgram Permata Negara berkata, inisatif yang telah diserang oleh Pakatan Harapan itu tidak dimansuhkan ketika PH mengambilalih kerajaan daripada Barisan Nasional selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14.
“Lid, Lid. Nak cakap pasal PERMATA lagi? Lid tidur ke masa PH jadi kerajaan? Tetapi yang mereka tak suka hanya nama Permata. Maka mereka tukar nama Permata jadi Genius.
“Tapi tidak apa lah. Kita janganlah marah Lid sangat. Dia istimewa,” kata Najib.
Dalam Twitternya, Pengarah Komunikasi Amanah itu melontarkan pertanyaan sama ada Najib mahu menghidupkan semula Program Permatan Negara.
Ini berikutan tindakan Kerajaan Perikatan Nasional membuka semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang telahpun dimansuhkan oleh Pakatan Harapan ketika mentabir negara menerusi Belanjawan 2021 .
“Ada yang hidupkan balik Jasa. Jibby! Ohhh Jibby! Tak nak cuba hidupkan balik Permata?
“Tanya jer. Jibby pun tahu mata kaca dan mana permata yang sebenar jangan lihat nama jer. Seperti Permata adalah kaca. Jasa pun tak berjasa kecuali bagi propoganda BN dan sekarang, PN,” ciap Khalid di Twitternya.
Program Permata Negara dijenamakan semula dengan diberi nama baharu, Genius selepas PH menguasai kerajaan.
Pada 18 April 2019 media melaporkan, Khalid yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan pada waktu itu telah mempertahankan tindakan kerajaan PH menjenamakan semula program hasil inisiatif pentadbiran BN sebelum ini.
“(Penjenamaan semula) itu (langkah) kementerian masing-masinglah, kerana kita nak bezakan yang mana dasar kerajaan sekarang dan yang mana dasar kerajaan dulu.
“Bukan sekadar tukar nama sahaja tetapi insya-Allah ada perbezaan dari segi cara ia dilakukan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media.
Beberapa program era BN dijenamakan semula di bawah PH antaranya termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) menjadi Pusat Komuniti Desa (PKD).
Program Permata Negara yang lahir daripada ilham dan inisiatif isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor, dijenamakan semula dengan nama baru Genius.
Permata menyediakan program asuhan berkualiti secara percuma kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah. Melalui program itu sejumlah kanak-kanak dikenal pasti mempunyai kecerdasan intelektual (IQ) yang tinggi dan mendapat peluang pendidikan yang berkualiti.-SM