Program Pemindahan Ilmu platform perkongsian ilmu sepanjang hayat
PROGRAM pemindahan ilmu (KTP) di bawah geran penyelidikan Pusat Penyelidikan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) yang memberi fokus kepada program Latihan Fizikal Dan Kadiovaskular dalam kalangan jurulatih dan pemanah telah dilaksanakan di Komplek Sukan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ) selaku ketua program, Dr. Mon Redee Sut Txi berkata seramai 30 orang peserta (jurulatih dan atlet memanah) dari Kelab Memanah Freedah Archery, Kelab Memanah Wolfpack (BJWP), Pasukan Memanah Wilayah Persetuan (WIPERS) dan persendirian menyertai program itu yang berjalan selama tiga hari.
Beliau berkata, setiap peserta memberi maklumbalas yang positif dan dapat mendalami ilmu yang dikongsi bersama dengan baik.
Program ini melibatkan aktiviti pengajaran secara teori dan amali bersemuka dengan pihak agensi bagi kemahiran-kemahiran asas latihan fizikal dan kardiovaskular yang telah dibina sendiri oleh Dr Mon Redee.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik termasuk teori dan amali telah dijalankan seperti latihan pemanasan badan, latihan fizikal, latihan kardiovaskular, latihan bebahan, latihan core, latihan regangan serta pembinaan program latihan yang sistematik dalam sukan memanah mengikut peringkat umur dan tahap pencapaian masing-masing.
Katanya, ia sekali gus berjaya mencapai objektif program iaitu memastikan para peserta dapat memahami dan melaksanakan kemahiran latihan fizikal dalam latihan harian mereka, memperinci pelbagai jenis program latihan yang sesuai bagi setiap peringkat umur, menguasai prinsip asas dan kaedah latihan serta menunjukkan aplikasi pemahaman konsep latihan fizikal dan kardiovaskular yang selamat, tepat dan sistematik.
Dr Mon Redee berkata program itu menjadi bukti dalam program pemindahan dan pemantapan ilmu dalam bidang sains sukan dan kejurulatihan.
Program itu, katanya, diharapkan akan menjadi satu panduan kepada fasa-fasa program pada masa akan datang kepada organisasi berkaitan sukan memanah di Malaysia malah dapat meningkatkan kemampuan dan kecekapan jurulatih dan pemanah dalam mengelola latihan kemahiran sains sukan dan kejurulatihan terutamanya dari segi aspek fizikal. -SM
Baca : SPRM siasat anak bekas PM