Nasional

Program MyBERAS@Wilayah bantu golongan miskin bandar

PROGRAM MYBERAS@Wilayah merupakan salah satu inisiatif tambahan program MyFood@Wilayah yang diletakkan di bawah Cakna Kemiskinan selaras dasar Wilayah Prihatin.

Menurut kenyataannya petang ini, program yang diilhamkan oleh Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa bakal menyantuni lebih 25,000 warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Kenyataan itu juga memaklumkan melalui pemberian sumbangan beras percuma bermula pada 1 Februari ini nanti iaitu sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan, program MYBERAS@Wilayah ini dikumpulkan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hasil dari perniagaan YWP, sumbangan korporat serta individu yang prihatin termasuklah dari Annuar sendiri.

 

Untuk makluman, program itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Annuar yang juga merupakan Pengerusi YWP berkata, Program MYBERAS @ Wilayah ini bertujuan meringankan beban warga Wilayah Persekutuan dari golongan miskin bandar atau B40 yang terjejas pendapatannya akibat Covid-19.

“Jenis bantuan yang akan diberikan ialah satu kampit beras 5 kilogram (kg) bagi setiap keluarga yang layak.

“Rakyat boleh memohon sumbangan melalui kupon yang boleh diperoleh daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) zon masing-masing seperti yang tertera di laman web: https://www.yayasanwp.org/myberas,” katanya.

Kupon yang berlainan warna dan tempoh sahlaku yang berbeza akan dikeluarkan setiap minggu bagi mengekang masalah lambakan bekalan beras dan bagi mengelak masalah kesesakan rakyat mendapatkan sumbangan ini pada satu-satu masa, katanya.

Langkah ini juga diambil bagi mengadaptasi norma baharu serta mengamalkan SOP yang dianjurkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain dapat mengekang penularan wabak Covid-19, katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, pihak YWP akan mengedar bantuan untuk rakyat melalui para MPPWP, tiga kali seminggu iaitu pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sepanjang bulan Februari.

Walau bagaimanapun, tempoh agihan sumbangan ini akan dilanjutkan sehingga Jun depan sekiranya mendapat lebih banyak sumbangan dari orang ramai dan badan korporat, ujar beliau.

“Bagi orangramai, syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) serta badan korporat yang mahu memberi sumbangan wang atau sumbangan beras beserta sumbangan barangan keperluan (makanan kering), mereka boleh melakukannya melalui “Portal Penyumbang MYBERAS/MYFOOD” iaitu di http://yayasanwp.org.my/myberas-penyumbang ,” kata beliau.

Melalui portal ini juga, sumbangan wang boleh dibuat secara online banking atau potongan kad debit/ kad kredit, jelasnya.

“Setiap sumbangan wang akan diberi resit pelepasan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Rakan strategik YWP bagi menjayakan Program “MYBERAS @Wilayah” ini adalah Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) yang menguruskan pengedaran beras secara terus kepada rakyat. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button