Mahkamah

Profesor direman seminggu bantu siasatan suapan RM100,000

MAHKAMAH Majistret Shah Alam hari ini membenarkan permohonan reman enam hari bermula hari ini terhadap seorang bekas pengurus besar bergelar Profesor di sebuah institusi badan pengkaji.

Perintah reman itu dikeluarkan terhadap individu berkenaan bagi membantu siasatan berhubung rasuah berjumlah RM100,000 membabitkan pembelian tanah.

BERNAMA melaporkan, perintah reman sehingga Khamis depan itu dikeluarkan Majistret Syajaratudur Abd Rahman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia 54 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor sekitar pukul 6 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

Suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah sebagai khidmat perunding pembelian tanah bagi tujuan pembangunan agensi tempatnya berkhidmat yang mana harga tanah berkenaan dinilai lebih tinggi daripada harga pasaran, kata sumber itu.

Difahamkan lebihan nilai harga tanah itu adalah bagi pembayaran rasuah  untuk dirinya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan kes terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button