Politik

Ketua AMK Selangor minta Tun M bertaubat

Selepas kenyataan terbaharu Tun M bahawa Anwar tidak berupaya jadi PM

KETUA Angkatan Muda Keadilan Selangor Mohd Najwan Halimi mengesa bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya bertaubat.

Dalam ciapan di Twitter, Najwan menyifatkan kenyataan terbaharu Dr. Mahathir terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dendam peribadi yang tidak ada kesudahan.

“Tengah-tengah Deepavali ni ada sahaja yang nak spoil dengan hasad dan dendam peribadi yang tak berkesudahan. Bawa-bawalah bertaubat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik itu.

Media hari ini melaporkan Dr. Mahathir yang menjadi perdana menteri sebanyak dua kali berkata, Anwar tidak layak memegang jawatan sebagai perdana menteri.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight yang diterbitkan hari ini, Dr. Mahathir berkata Anwar tidak mampu mengemudi negara jika krisis kewangan berlaku seperti yang terjadi pada 1997. Ketika itu Anwar menjadi timbalan perdana menteri.

“Kita telah uji kebolehan beliau semasa saya jadi perdana menteri. Saya telah bercuti selama dua bulan (antara Mei dan Julai 1997) dan Anwar dilantik sebagai perdana menteri pada masa itu.

“Terpulanglah kepada kita untuk menilai sama ada dia mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara dengan baik.

“Saya tidak tahu penilaian yang akan dibuat oleh rakyat tetapi yang jelasnya dalam krisis kewangan 1997/98 dia tidak berkeupayaan,” katanya dalam wawancara itu.

Dalam wawancara itu, Mahathir mempersoalkan penilaian Anwar dalam menangani krisis kewangan Asia 1997 yang menurutnya mahu mengikut langkah yang disarankan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Saya pernah berkata kepadanya kalau kita ikut mereka, negara mungkin tidak akan ada dana yang cukup untuk membayar gaji, tetapi dia masih terus dengan pendiriannya menyokong IMF dan Bank Dunia.

“Sebab itu saya terpaksa ambil alih kerajaan daripada menteri kewangan dan merancangkan pendekatan untuk memulih semula negara kita,” katanya.

Ketika berjaya mengambil-alih pentabiran negara selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14. Dr. Mahathir berjanji menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Bagaimanapun Dr. Mahathir tidak pernah menunaikan janjinya sebaliknya meletakkan jawatan tanpa menyerahkan kepada Anwar pada Februari lalu selepas berlaku pemimpin Bersatu dan bekas pemimpin PKR yang mengambil keputusan keluar daripada Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional. -SM

(Visited 380 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button