PRN Sabah: Semua petugas KKMM wajib jalani ujian saringan Covid-19
Petugas yang balik ke Semenanjung wajib jalani ujian saringan Covid-19
TIADA pengecualian. Semua kakitangan agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 hari ini, adalah diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik sahaja pulang ke Semenanjung.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, arahan itu dikeluarkan semalam sebagai langkah berjaga-jaga dan inisiatif KKMM walaupun setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) belum mewajibkan lagi petugas yang pulang dari Sabah untuk melakukan ujian tersebut.
“Kita ada ramai petugas yang dihantar dari ibu pejabat ke Sabah khususnya mereka yang dalam bidang penyiaran, berita dan penerangan untuk membantu rakan di sana kerana faktor demografi negeri itu yang terlalu luas.
“Ada petugas yang balik dari Sabah telah mengambil inisiatif membuat ujian dan didapati negatif.
“Bagaimanapun masih ramai lagi petugas kita yang berada di sana dan kita harus berwaspada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Latihan YouTube Zon Pantai Timur, hari ini.
Program dua hari anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu turut dihadiri Pengerusinya Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Saifuddin yang kerap berkunjung ke Sabah sebelum ini memaklumkan, beliau telah menjalani ujian tersebut dan didapati negatif Covid-19.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, semua syarikat produksi yang sedang menjalani atau merancang melakukan penggambaran di Sabah diingatkan supaya mengambil langkah sewajarnya dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Syarikat produksi sering berkomunikasi dengan Finas mengenai SOP dan kita menasihatkan mereka untuk menangguhkan dahulu jika penggambaran melibatkan lokasi di kawasan zon merah atau jika boleh, cari lokasi lain. Tetapi yang penting, mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya. – SM
Sementara itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata kementerian bersedia untuk membantu siasatan berhubung dakwaan sebuah syarikat China yang ada kaitan dengan tentera dan rangkaian perisikan yang dikatakan mempunyai data 1,400 rakyat Malaysia.
Katanya, dua agensi di bawah KKMM iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan CyberSecurity Malaysia bersedia membantu, jika diminta berbuat demikian. – SUMBER BERNAMA – SM