Nasional

PRN Melaka: Calon sila ikut SOP Khas SPR

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) ingin memaklumkan bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) semalam.

Ia selaras dengan Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

SOP khas ini, menurut Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses penjalanan pilihan raya iaitu taklimat petugas, proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

“Sepanjang tempoh berkempen, calon atau parti hanya dibenarkan untuk membuka satu Bilik Jawatankuasa (Bilik Gerakan Utama) 5 untuk satu DUN dan TIADA Bilik Gerakan Kecil atau tempat perkumpulan lain bagi calon atau parti dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi mematuhi penjarakan fizikal, beliau berkata, ceramah yang menghimpunkan orang ramai TIDAK DIBENARKAN.

Begitu juga aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan aktiviti walkabout adalah TIDAK DIBENARKAN, tegasnya.

“Calon boleh memaksimumkan kaedah kempen menggunakan medium atas talian atau melalui saluran media massa dan media sosial.

“Calon DIBENARKAN untuk berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara pada waktu yang ditetapkan dalam permit” jelasnya.

Tambah beliau, calon perlu mendapatkan permit dari pihak polis. Tempoh masa dan lokasi untuk berkempen adalah tertakluk kepada permit yang diluluskan oleh pihak polis.

Beliau berkata, kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara TIDAK DIBENARKAN berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah.

Calon-calon yang bertanding masih tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Maklumat lanjut berkenaan SOP Pencegahan Covid-19 PRU DUN Melaka Ke-15 boleh diperolehi di portal spr.gov.my.

“SPR juga berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dengan suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button