Politik
PRN Johor: PH buat ‘post mortem’ segera kaji silap dan kekurangan
Pakatan Harapan (PH) akan melakukan ‘post mortem’ dalam kadar segera bagi memastikan kelemahan, kekurangan dan kesilapan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat diperbaiki.
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, ‘post mortem’ itu tiada lain bagi membolehkan mereka kembali bangkit dengan segera dan seterusnya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Beliau berkata, persiapan perlu dilakukan segera memandangkan UMNO-Barisan Nasional (BN) dilihat terlalu ghairah untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin.
“Sudah tentu, PH pernah menjadi kerajaan dan sudah biasa juga dengan peranan sebagai pembangkang. Jadi, kami tidak putus asa.
“Kami akan terus berpegang kepada semangat setia kawan dalam usaha mengorak langkah mendapatkan kembali mandat rakyat.
“Kami akan teruskan usaha sebagai suara rakyat yang lantang membela bangsa Johor dengan memainkan peranan semak dan imbang,” katanya ketika sidang media PH di Pusat Operasi PH dekat Senai di sini, malam tadi.
Turut serta dalam sidang media yang diadakan sempena keputusan PRN Johor adalah Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Hadir sama ketika pertemuan pada malam kemuncak PRN Johor adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Sahalahuddin Ayub dan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar.
PRN Johor menyaksikan PH bersama rakan sekutunya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh kemenangan bagi 13 calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 57 calon yang dipertaruhkan.
DAP memenangi 10 kerusi, manakala PKR, Amanah dan MUDA masing-masing dengan satu kerusi.
Aminolhuda yang juga Pengerusi Amanah Johor berkata, keputusan dicapai PH bersama MUDA itu bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan.
“Namun kita perlu akui bahawa dengan situasi semasa, ia adalah keputusan yang boleh diterima walaupun perlu diperbaiki pada masa depan,” jelasnya yang juga tewas di kerusi DUN Parit Yaani yang disandangnya sebelum ini.