PRN Johor: Pertandingan empat penjuru di Bukit Kepong
KERUSI Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), MUDA dan Pejuang.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya (SPR), Rahman@Abdul Rahman Selamat mengumumkan senarai calon yang bertanding pada PRN Johor pada pukul 10.25 pagi tadi.
Untuk makluman, hari ini selepas proses penamaan calon-calon yang bertanding di Dewan Karisma Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Pagoh, proses itu ditutup pada pukul 10 pagi.
“Selepas semakan dilakukan, kami berpuas hati dan tiada calon ditolak kertas penamaannya,” kata Rahman.
Pada PRN kali ini, PN mengekalkan bekas Menteri Besar, Dr. Sahruddin Jamal sebagai calon bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya sebelum ini.
Dr Sahruddin akan ditentang calon daripada BN iaitu Ismail Mohamad dan calon dari parti MUDA yang diwakili Nurafiqah M.Zulkifli selain seorang lagi calon parti Pejuang, Md Taib Md Suhut.
Untuk rekod juga, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Dr Sahruddin menang kerusi Bukit Kepong dan beliau bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 1,273. – FMT- SM