Politik

PRN: Dua penyandang antara 35 calon dikemukakan Pemuda UMNO

Dua penyandang Datuk Mohd. Imran Tamrin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang dan Datuk Rizam Ismail DUN Sungai Air Tawar di Selangor adalah antara 35 calon muda yang dikemukakan Pemuda UMNO bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri bulan depan.

Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, selain kedua-dua penyandang itu pihaknya turut menyenaraikan bekas Ketua Pemuda serta muka baharu yang disifatkan kesemuanya sebagai calon boleh menang.

Menurutnya, senarai tersebut dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti selepas mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO di enam negeri baru-baru ini.

“Kita sudah hantar senarai 35 calon muda kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dinilai dan ditapis.

“Ini adalah senarai calon yang disifatkan boleh menang dan berwibawa apa pun saya menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih mereka bertanding dalam PRN bulan depan.

“Apa yang saya harapkan daripada senarai yang dikemukakan untuk sekurang-kurangnya 30 peratus dipilih oleh parti untuk bertanding,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Perangkap Hidupan Liar Bagi Program Basmi Musuh Tanaman di Pusat Pendidikan Biodiversiti Tanjung Tuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Muhamad Akmal berkata, kesemua calon yang dikemukakan itu bukan setakat sebagai calon muda tetapi mempunyai potensi untuk menang kerana ada antarnya bertanding di beberapa kerusi baharu.

Menurutnya, beliau yakin dan percaya dengan komitmen Presiden UMNO mahu melihat muka baharu ditampilkan pada PRN di enam negeri dalam agenda perubahan baharu parti kali ini.

Katanya, Pemuda akur dengan sebarang keputusan yang bakal diputuskan tidak lama lagi berhubung senarai dari Pemuda UMNO kerana sayap lain seperti Puteri, Wanita dan Bahagian turut menampilkan calon masing-masing.

“Bagi saya jika pucuk pimpinan parti memilih hanya 30 peratus calon dari Pemuda itu sudah mencukupi kerana kita mahu pastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyumbang kemenangan,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button