Nasional

PRK Parlimen Kimanis, rayuan Anifah ditolak

MAHKAMAH Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum lepas, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya kecil di kawasan itu.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya.

Hakim Tengku Maimun berkata Mahkamah Pilihan Raya tidak melakukan kekhilafan dalam penemuan faktanya.

Beliau berkata terdapat percanggahan dalam proses pemilihan dan ketidakpatuhan undang-undang pilihan raya yang telah menjejaskan keputusan undi.

Beliau memerintahkan Anifah membayar kos RM70,000 kepada calon Parti Warisan Sabah, Datuk Karim Bujang.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Nallini Pathmanathan.

Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 Ogos tahun ini mengisytiharkan kemenangan Anifah di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen itu pada 18 Jun untuk mencabar keputusan pilihan raya tersebut.

Anifah, bekas menteri luar, memenangi kerusi itu dengan majoriti 156 undi apabila memperoleh 11,942 undi berbanding Karim 11,786 undi.

Seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah memperoleh 1,300 undi. –BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button