Analisis

PRK KKB: PN catat peningkatan undi Melayu, PH kekalkan undi bukan Melayu

Analisis terperinci keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada 11 Mei 2024 menunjukkan undi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) dianggarkan meningkat daripada 75% pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 kepada 83%. PN hanya mencatatkan kemerosotan undi Melayu dalam kalangan pengundi awal yang menunjukkan trend bertentangan dengan pengundi biasa.

 

Manakala tahap sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Harapan (PH) pula kekal tinggi pada sekitar 97% dalam kedua-dua PRN 2023 dan PRK 2024.

 

Dalam kalangan pengundi India pula, dianggarkan sekitar 85% mengundi PH dan selebihnya memilih PN. Dapatan ini menunjukkan tiada perubahan ketara pola pengundian kaum India berbanding PRN 2023.

 

Analisis anggaran kadar sokongan kaum kepada parti-parti politik yang bertanding dijalankan menggunakan kaedah linear regression berdasarkan set data keputusan pengundian di semua pusat mengundi.

 

Keputusan PRK KKB menunjukkan penerusan trend pola pengundian berasaskan kaum yang diperhatikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 dan PRN 2023 yang mana PN menguasai undi kaum Melayu manakala PH mengungguli undi kaum bukan Melayu, terutamanya kaum Cina.

 

Pola pengundian berasaskan kaum ini menjadi semakin ketara dalam PRK KKB 2024.

 

Dalam kajian tinjauan pendapat pra PRK KKB yang kami jalankan pada 30 Mac – 7 April 2024, 59% responden yang merupakan pengundi berdaftar di Kuala Kubu Bharu menyatakan isu kos sara hidup, inflasi dan pembangunan ekonomi menjadi kebimbangan utama mereka. Hanya 2% menyatakan mereka bimbang mengenai kedudukan hak kaum masing-masing

 

Namun begitu, keputusan PRK KKB menunjukkan pola pengundian lebih dipengaruhi oleh faktor identiti kaum berbanding faktor ekonomi. Ini bermaksud, identiti kaum terus menjadi faktor utama yang menentukan pilihan parti pengundi berbanding faktor kelas sosial, pendapatan dan gender.

 

Peningkatan undi Melayu kepada PN menunjukkan setakat ini PH masih gagal mengemukakan dasar-dasar yang boleh meyakinkan pengundi Melayu. Pengumuman YAB Perdana Menteri mengenai kenaikan gaji penjawat awam, janji pelaksanaan projek-projek pembangunan dan penglibatan aktif UMNO berkempen untuk calon PH dari parti DAP tidak memberi kesan kepada sikap pengundi Melayu terhadap PH.

 

Pada masa yang sama, walaupun PN mengukuhkan pengaruhnya dalam kalangan pengundi Melayu, parti itu tidak menunjukkan pencapaian positif dalam meraih undi bukan Melayu.

 

Sekiranya trend ini berterusan dan menjadi semakin ketara sehingga PRU 16, PN berpotensi untuk terus menguasai kawasan-kawasan majoriti Melayu manakala PH pula akan mengungguli kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu seperti Kuala Kubu Bharu.

 

Menuju PRU 16, PN dan PH memerlukan strategi yang ampuh untuk meraih keyakinan pengundi merentasi kaum.

 

INSTITUT MASA DEPAN MALAYSIA

18 Mei 2024

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button