PRINSIP Islam “Tabayyun” harus ditekankan bagi menggalakkan individu mencari penjelasan dan pemahaman apabila berhadapan dengan maklumat yang boleh mencetuskan ekstremisme.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullaill bertitah setiap Muslim dituntut untuk melihat kredibiliti maklumat, bermula daripada kandungan sehinggalah kepada sumber maklumat tersebut, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullaill.
“Dalam kebanyakan kes, radikalisme dalam talian berlaku selepas melihat satu video atau membaca satu siaran dalam talian tetapi berlaku secara beransur-ansur,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan menerima sembah mengadap wakil dari Majlis Agama Islam (MAI) 6 Wilayah di Masjid Madinatul Al- Islam, Trang, Thailand.
Ia melibatkan Wilayah Satun, Trang, Krabi, Phuket, Phang Nga dan Ranong.
Program ini antara aktiviti Ziarah Mahabbah yang diketuai oleh Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang Di Pertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bersama Delegasi Jawatankuasa Pengurusan Zakat dan Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs ke Wilayah Trang, Thailand dari 6 hingga 8 Oktober.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir, Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Konsul Jeneral Malaysia, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.
Baginda bertitah, para ulama memainkan peranan penting dalam mengajar golongan muda kemahiran yang diperlukan untuk mengemudi maklumat dalam talian secara bertanggungjawab dan menyediakan generasi akan datang sebagai pengguna internet yang bijak.
“Marilah kita istiqamah dalam menjaga warisan dan nilai budaya kita dengan menolak ekstremisme dalam segala bentuk,” titah Baginda.
Sekaligus jelas Baginda, kita boleh memastikan Malaysia khususnya Perlis dan Thailand terutamanya Wilayah Trang dan 6 Wilayah Andaman terus berkembang maju sebagai mercu tanda keharmonian dan toleransi dalam dunia kita yang sentiasa berubah. – SM