Premis tanpa papan tanda jawi akan didenda
PEMILIK premis di Pahang yang engkar dengan arahan kerajaan negeri supaya memasang papan tanda dalam tulisan jawi akan dikenakan tindakan tegas mulai esok kerana tiada lagi tempoh lanjutan diberikan untuk mereka berbuat demikian.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda berkata ini kerana tempoh setahun yang telah diberikan adalah mencukupi untuk semua pihak terlibat mengambil langkah sewajarnya memasang papan tanda dalam tulisan jawi.
“Malah tempoh pemasangan papan tanda itu juga sudah dipanjangkan kerana mengikut arahan awal, ia sepatutnya berkuatkuasa pada 1 Jan 2019 sebelum kita lanjutkan kepada 30 Jun lalu.
“Tempoh itu sekali lagi dipanjangkan kepada hari ini (31 Dis) menyebabkan kita berpandangan tiada alasan untuk mana-mana pihak tidak mematuhinya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Abd Rahim memaklumkan penggunaan tulisan jawi itu juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang supaya tulisan tersebut diperkasakan di negeri ini.
Mereka yang engkar dengan arahan tersebut boleh dikenakan kompaun maksimum RM250 dan jika masih berdegil selepas itu, boleh berhadapan dengan tindakan lesen perniagaan mereka dibatalkan, katanya.
Berhubung sambutan pemilik premis terhadap arahan itu setakat ini, Abd Rahim berkata pemerhatian pihak berkuasa tempatan (PBT) mendapati sekitar 70 peratus premis perniagaan telah memasang papan tanda tulisan jawi.
“Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka didapati tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan seperti saiznya kecil dan dipasang pada bahagian bawah, sedangkan ia sepatutnya berada di atas.
“Kita harap mereka dapat memperbetulkan perkara ini mengikut spesifikasi yang tepat supaya tulisan jawi itu mudah dilihat jika menggunakan saiz dan berada di kedudukan yang betul,” katanya.
Pahang sebelum ini, membuat ketetapan supaya semua premis perniagaan dan papan jalan di negeri ini menggunakan tulisan jawi dengan syarat tulisan itu bersaiz sama dengan tulisan rumi.
Abd Rahim juga memberitahu pemasangan tulisan jawi tidak bermaksud pemilik premis perlu memasang papan perniagaan baharu, sebaliknya tulisan tersebut hanya perlu ditampal pada papan sedia ada. – BERNAMA