Politik

Politik Sarawak bergolak. 23 Wakil Rakyat PBB bakal lompat parti?

ANALISIS

 

NAMPAK gayanya akan berlaku peristiwa besar dalam politik Sarawak sebelum pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Mungkin sebelum ini Barisan Nasional (BN) boleh mendabik dada Sarawak adalah kawasan fix deposit mereka. Tapi kini tidak lagi malah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai PBB sendiri sudah goyang kedudukannya walau telah memerintah Sarawak lebih 50 tahun.

Terbaru tersebar khabar angin yang bertiup kencang sejak minggu lepas apabila dikatakan satu pertemuan sulit antara beberapa pemimpin dan wakil rakyat daripada PBB dan  Kepimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) Sarawak bagi menyatakan hasrat untuk menyertai parti itu.

Malah mereka turut meminta persetujuan dari Perdan Menteri, Tun Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi mencorakkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) Sarawak selepas PRN nanti.

Dikhabarkan seramai 13 ADUN dan 6 Ahli Parlimen yang diketuai seorang pemimpin kanan parti PBB dijangka akan melompat untuk bersama Bersatu dan selebihnya akan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekiranya Datuk Seri Azmin Ali bersetuju menerima penyertaan mereka.

Mereka ini dikatakan lebih “mesra” Azmin berbanding Presiden PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas faktor Anwar lebih menyokong keluarga Sng di Sarawak.

Berikutan pergolakan terbaharu politik Sarawak menjelang PRN yang ke-12, kini semua mata tertumpu kepada peluang cerah PH untuk menawan Bumi Kenyalang.

Malah Ketua Menteri Sarawak sendiri Tan Sri Abang Johari Bin Abang Haji Openg atau Abang Jo pula dilihat masih terkial-kial mencari senjata utama untuk memenangi hati rakyat Sarawak dan perkara ini sungguh berbeza berbanding di era pentadbiran Tok Nan (Allahyarham Tan Sri Adenan Satem).

Ramai yang melihat corak pentadbiran Abang Jo tidak dapat menandingi aura Tok Nan malahan kedudukan beliau juga ditentang hebat oleh orang PBB sendiri secara dalaman.

Ini berikutan pemimpjn kanan PBB itu sudah mempunyai pasukan yang kuat diperingkat akar umbi dan dilihat mampu menggugat kedudukan Abang Jo semasa PRN yang akan datang.

Begitu juga dengan penggabungan pasukan yang menggangotai wakil kaum Dayak dalam parti dan ini sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan kepada Abang Jo dalam PBB.

Ini yang menyebabkan beliau memberi ‘wahyu’ kepada Datuk Seri Fadzilah Ysuof, bekas Menteri Kerja Raya untuk menjadi ‘Laksamana Politik’ Abang Jo dalam menarik sokongan akar umbi.

Malah timbul desas-desus dalam GPS yang mengatakan kewujudan Parti Sarawak Bersatu (PSB) pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh, yang juga bekas Menteri Kewangan Sarawak sebenarnya adalah pakatan baharu yang diwujudkan oleh pemimpin kanan parti itu agar sokongan Dayak dalam PRS dan PDP akan menjerat Abg Jo.

Sebenarnya, anggota kanan Kabinet Sarawak sangat malu dengan tindakan Abang Jo yang dilihat secara umumnya terlalu ego dalam pentadbiran beliau dan menyusahkan anggota Kabinetnya.

Manakan tidak, beliau mengumumkan projek berharga berbillion-billion ringgit untuk Sarawak tetapi sumbernya tidak diketahui dari mana?

Malah, syarikat-syarikat terbesar di Sarawak dikenali ‘Big Six’ juga kecewa dengan Abang Jo dan mengancam tidak akan membantu beliau untuk menyalurkan dana bagi PRN seperti mana yang biasa dilakukan sebelum ini.

Lebih malang lagi terdapat laporan risikan dalaman menyatakan Abang Jo tidak mempunyai hala tuju yang jelas untuk membawa Sarawak ke arah negeri yang lebih baik dan maju.

Hal ini yang menyebabkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Pehin Seri Abdul Taib Mahmud telah mengarahkan beberapa proksi beliau untuk campur tangan dalam pentadbiran Sarawak kerana beliau khuatir Abang Jo tidak mampu mengendalikan ancaman daripada pihak luar terutamanya penjajahan ekonomi daripada negara China. – SM

(Visited 777 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button