Nasional

PR1MA sumbang RM5 juta untuk meringankan beban mangsa banjir

Sumbangan seperti waterjet, kelengkapan kebersihan diri, bantal, tilam, selimut serta bakul makanan

PERBADANAN PR1MA Malaysia (PR1MA) telah menambah RM3 juta untuk membantu Keluarga Malaysia yang terjejas dengan bencana alam baru- baru ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk misi bantuan banjir oleh PR1MA sebanyak RM5 juta.

Dato’ Dr. Fathul Bari Bin Mat Jahya

Pengerusi PR1MA, Dato’ Dr. Fathul Bari Bin Mat Jahya berkata Bantuan Tambahan Bencana Banjir 2021 #PR1MAKita ini merupakan langkah yang diambil untuk meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana banjir yang luar biasa ini selari dengan inisiatif yang diumumkan Kerajaan.

“Memahami kepayahan mereka yang terjejas seperti kehilangan tempat tinggal, kerosakan harta benda, serta keadaan rumah yang dipenuhi lumpur, PR1MA akan menyalurkan bantuan tambahan seperti waterjet untuk membersihkan kawasan rumah yang terjejas, kelengkapan pembersihan diri, bantal, tilam dan selimut serta bakul makanan,” katanya.

Bantuan-bantuan ini akan disumbangkan kepada mangsa banjir negeri-negeri yang terjejas dengan bencana alam ini.

Sebelum ini, PR1MA juga telah menggerakkan lebih 100 kakitangan di Hulu Langat, dan Taman Sri Muda, Shah Alam bagi kerja-kerja pembersihan kediaman mangsa banjir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Haji Mohd Nazri bin Md. Shariff berkata PR1MA akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan koordinasi dan gerak kerja yang teratur bagi kerja-kerja pembahagian barangan sumbangan kepada mangsa banjir di kawasan yang terjejas.

“Tidak lupa juga kepada pembeli kita yang terjejas, kami di PR1MA akan berhubung dengan anda dan berharap dapat membantu anda sedaya mungkin,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi kami di 03-76289898 atau e-mel ke [email protected]. Waktu operasi kami: Isnin hingga Ahad 9.00 pagi hingga 6.00 petang (kecuali Cuti Umum di Negeri Selangor). – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button