Mahkamah

Posmen mengaku tidak bersalah curi bungkusan barang kemas

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 24 Mei – Seorang posmen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga
pertuduhan mencuri dan menjual bungkusan mengandungi barang kemas, Mac lalu.

Tertuduh, Mohamad Azizal Rebu, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa
mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di kaunter serahan barangan didakwa mencuri seutas
rantai leher emas yang mempunyai loket tertera ‘Atieda’ dan satu loket emas kecil.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pusat serahan Taman Tasek Utama, Ayer Keroh kira-kira pukul 8.00
hingga 10.30 pagi pada 3 Mac lalu.

Tertuduh yang berkhidmat sebagai posmen selama 15 tahun didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi dua pertuduhan lagu, Mohamad Azizal dengan niat curang cuba melupuskan harta yang dicuri
dengan cara menjual barang kemas itu di sebuah premis pajak gadai di Jalan Munshi Abdullah.

Dia didakwa melakukan dua transaksi berasingan pada 12 dan 21 Mac lalu dan jika sabit kesalahan, tertuduh
boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan
sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Dia yang diwakili Peguam Amritpal Singh bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan anak
guamnya telah digantung tugas dan kini bekerja sebagai penghantar makanan.

Mohamad Izwan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 7
Julai depan sebagai sebutan semula kes.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button