Nasional

Ponggal: Jakim hanya beri pandangan, tidak halang sambutan

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya memberi pandangan mengenai penglibatan pelajar Islam dalam meraikan perayaan Ponggal.

Namun jabatan tersebut menegaskan mereka tidak sama sekali menghalang daripada perayaan berkenaan disambut dan diadakan di negara ini.

Jakim menegaskan pandangan tersebut diberi susulan permohonan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai garis panduan kepada warga pendidikan muslim yang terlibat dalam perayaan tersebut.

“Keputusan mengenai perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

“Jakim hanya memberikan pandangan dari sudut penglibatan orang Islam dan sama sekali tidak menghalang sambutan tersebut dilaksanakan,” kata Jakim dalam satu kenyataan.

“Panel Pakar Syariah JAKIM juga berpandangan adalah harus untuk orang Islam mengucapkan selamat kepada rakan dan jiran yang menyambut perayaan tersebut.

“Tanpa niat mengiktiraf agama mereka serta umat Islam tidak boleh memaki dan mencaci serta menghina tuhan-tuhan agama mereka,” kata Jakim.

Surat pekeliling yang diedarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 13 Januari 2020 berkaitan penglibatan orang Islam khususnya murid dan guru muslim di sekolah-sekolah dalam Pesta Ponggal menjadi tular.

Pekeliling itu menggariskan beberapa syarat yang digariskan oleh JAKIM seandaiya orang Muslim terpaksa hadir Pesta Ponggal.

Menurut kenyataan KPM, surat yang dikeluarkan bernombor rujukan KPM. 100-1/3/2 (64) bertarikh 13 Januari 2020, bertujuan mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa murid beragama Islam dalam penglibatan anak-anak mereka ketika sambutan perayaan tersebut

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hari ini berkata isu tersebut dibawa ke Kabinet.

Beliau menegaskan acara tersebut telah lama diraikan di negara ini selain dilihat sebagai acara untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat.

“Ponggal bukanlah satu perayaan ataupun acara keagamaan. Perayaan ini menandakan sambutan musim menuai dan menandakan kejayaan ataupun kemakmuran yang melimpah. Perayaan ini telah lama diraikan di Malaysia.

“Ianya harus dilihat sebagai satu acara untuk masyarakat kita mengeratkan lagi talian persahabatan, menghormati budaya, mengalakkan perpaduan serta membina negara kita,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button