fbpx
Politik

Menang Warisan `redakan’ isu transisi Dr. Mahathir-Anwar?

Analisis

ADA menyifatkan gandingan Tun Dr. Mahathir Mohamad-Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa kepada pencapaian negara yang lebih baik.

Sebelum Anwar menakhodai kapal, kata sebilangan pemerhati, elok kedua-duanya menyambung semula ‘ramuan’ pada 1997 dengan Anwar kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ini yang terbaik untuk serai serumpun sirih setepak.

Tetapi Anwar seingat Suara Merdeka pada 24 November 2019 ada mengungkapkan pada sidang media selepas ucaptama Konvensyen Reformis 2019 di Shah Alam yang beliau tidak mahu menerima sebarang jawatan sekiranya berlaku rombakan barisan Kabinet oleh Perdana Menteri.


“Saya tidak minta, persefahaman dia jelas, saya tunggu (peralihan Perdana Menteri kelapan). Saya tidak bercadang untuk sertai Kabinet Tun, “ kata Anwar dalam laporan-laporan akhbar dan media sosial, dipetik Suara Merdeka.

Semalam, Suara Merdeka `tersentak’ seketika dengan nada tenang dan harmoni daripada dua individu yang menjadi perhatian umum tersebut.

Kata Dr. Mahathir, sebarang isu berkaitan peralihan kuasa akan diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Balas Anwar pula, transisi kuasa perdana menteri haruslah dilakukan secara aman dan teratur.

Hakikatnya, isu peralihan kuasa ini akan kembali menjadi topik penting selepas pilihan raya kecil Kimanis Sabtu ini. Jika Parti Warisan Sabah yang bersekutu dengan PH menang, momentum ke arah isu transisi ini akan `reda’ sedikit.

Jika sebaliknya terjadi, dengan Kimanis berjaya dipertahankan BN , ia pastinya menjadi titik tolak utama rentetan kelemahan PH, khususnya Bersatu.

Setakat PRK kesembilan yang lalu, UMNO berjaya merampas kembali dua kerusi Parlimen di Semenyih dan Tanjung Piai. Dua lagi, Parlimen Cameron Highlands dan DUN Rantau berjaya dipertahankan.

Dari satu sudut, Parti Bersatu akan sekali lagi tercalar imejnya andai kata Warisan yang membawa suara bumiputera di sana kecundang. PRK Semenyih dan Tanjung Piai sebelum itu pun telah menggugat kewibawaan Bersatu.

Dengan 26 kerusi Parlimen yang dimilikinya sekarang, Bersatu kelihatan dilihat oleh orang Melayu/bumiputera masih belum dapat menghitamputihkan lagi arena politik tanah air.

Ini disebabkan dalam ruang PH yang paling ramai ahli parlimen ialah pakatan yang diwakili oleh PKR.

Dalam pada itu Warisan di Sabah tidak nampak sangat membantu Dr. Mahathir.

Bahkan, dikatakan Warisan mempunyai `agenda sendiri’ Sabah for Sabahan, dengan tidak ketara bagaimana sumpah setia lama diketuai Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menterjemahkan kepada falsafah besar PH dan juga Bersatu dengan Warisan.

Dengan demikian Dr. Mahathir mahu tidak mahu harus bersendirian mengendalikan nilai-nilai sendiri beliau sebagai Perdana Menteri disebabkan kuasa itu sudah ada di tangan – walaupun orang di kiri kanan khususnya para penyokong Anwar menghimpit sedemikan.

Cuma, hendak menentukan ‘politik berkuat kuasa’ secara keras
seperti dulu tidak boleh kerana kerusi majorti Parlimen tadi bukan milik Bersatu.

PRK Kimanis suatu ujian besar PH khususnya buat Dr. Mahathir sendiri.

Ia apa lagi apabila berdepan isu transisi kepimpinan yang masih belum nampak `anak bulan’ tarikh yang muktamad.

– SM

Show More

Related Articles

Back to top button