Politik

Politik Malaysia – Antara dua garis

Oleh: Amirrul Jeffery Igai

Pernah ada naratif seumpana ini saya garap tidak lama dahulu. Sahaja diolah semula untuk mereka yang lupa. Lupa bukan satu jenayah, maka sikap lupa dimaafkan.

Perkara jenayah ialah buat – buat lupa. Ubat melawan lupa ialah pembacaan yang berulang. Pembacaan yang berulang kita jadikan mazhab untuk melawan lupa.

Dalam politik tiada istilah berkecuali. Tiada istilah neutral. Tiada istilah tidak ambil tahu dan tidak mahu ambil tahu. Tiada istilah siapa sahaja yang menjadi kerajaan dan pemimpin – diludahkan semuanya sama sahaja.

Tiada istilah sedangkal itu. Istilah itu hanya untuk orang yang telah lama pencen dari menggunakan akal yang waras. Politik adalah tentang kekuasaan. Kekuasaan itu bertujuan untuk merebut kepelbagaian punca ekonomi yang kita ada.

Sumber ekonomi itu antara ditujukan kepada dua golongan. Sama ada dibahagikan kepada golongan kaum pemodal dan elit kewangan atau pemangkin untuk meningkatkan taraf kehidupan golongan kaum marhaen melingkungi petani, nelayan, buruh, dan kaum pekerja yang miskin.

Dalam parti politik, pemilihan pemimpin begitu juga serupa. Tiada istilah berkecuali. Tiada istilah terpulang kepada siapa pemimpin yang menang atau yang kalah dalam pemilihan. Ahli parti harus membuat keputusan tepat.

Sama ada mahu berpihak kepada pemimpin A atau pemimpin B. Tidak ada perkataan berkecuali. Berkecuali dalam politik bermakna fikrah anda dalam situasi bonsai dan keliru. Berkecuali bermaksud anda telah melakukan satu jenayah – dimana anda gagal dalam menggunakan fikrah dikurniakan Tuhan, yang diasah sewaktu di bangku sekolah, di kolej mahupun di universiti.

Anda telah menghina guru anda ke tahap yang paling rendah. Anda telah menghina pensyarah anda yang mengajar anda agar berfikir secara kritikal.

Kalau anda masih tidak faham atau keliru tentang apa yang saya cuba sampaikan, saya akan panjangkan lagi. Dalam politik ada dua garis. Garis kanan merupakan tangan yang berjabat mesra dengan kaum pemodal dan elit kewangan.

Garis kiri dimana menyebelahi dan melindungi hak kaum nelayan, petani, tenaga buruh dan pekerja yang miskin. Kedua – dua ini saling bertentangan. Kedua dua ini saling bertempuran. Perlawanan ini tidak akan padam selagi sistem ekonomi kapitalis ini hidup.

Pemimpin politik dalam meraih sokongan rakyat saling mendendangkan tentang menghentikan rasuah, melumpuhkan penyelewengan kuasa, melawan yang batil, menegakkan yang hak. Baik blok A atau Blok B. Skripnya tidak jauh beza.

Kedua-dua memainkan naratif yang hampir kepada sama. Bezanya ketara di garis mana politik mereka berada. Dalam kempen siri ceramah selalu kita dengar tentang membantu yang miskin dan membahagiakan yang papa kedana.

Tidak pernah kita dengar dalam siri ceramah politik yang terbuka – dimana ahli politik menggariskan tentang polisi bagaimana orang kaya seharusnya menggunakan polisi yang mereka gariskan untuk menjadi lebih kaya.

Ini hanya kita boleh dengar dalam perjumpaan – perjumpaan gelap lagi songsang dan di meja bulat – sambil menghisap candu.

Ini adalah kerana kaum marhaen – nelayan, petani, buruh dan pekerja yang miskin adalah golongan majoriti di negara ini. Rakyat marhaen mempunyai kekuatan apabila bersatu dalam pemilihan pemimpin.

Manakala elit kewangan dan kaum pemodal merupakan golongan minoriti yang merembat segala kekayaan. Kekayaan mereka ini hasilnya daripada keringat kaum petani, nelayan, tenaga buruh dan pekerja yang miskin.

Keringat mereka diperah semahunya dalam memaksimakan keuntungan. Keuntungan adalah kiblat sistem ekonomi kapitalis.

Apa yang kita perlu tahu dalam mana – mana organisasi politik memiliki dua garis ini. Ada dalam kalangan ahli parti, dalam mengisi borang keahlian dan menjadi ahli parti mereka bekerja keras agar di suatu hari mereka akan menjadi saudagar kaya, tauke besar, kontraktor yang makan kontrak.

Untuk kaum pemodal dan elit kewangan mereka tidak perlu bekerja keras dalam merekrut mereka ini agar menjadi kuli batak mereka yang paling setia. Kaum pemodal dan elit kewangan cuma perlu tabur duit, bagi pelacur kelas atas, bagi kontrak dan arak.

Duit yang ditabur, pelacur yang dihidangkan, kontrak yang dihadiahkan dan arak yang dituang ke dalam gelas – bertujuan untuk ahli politik ini membantu mereka dalam menggariskan dasar-dasar dan polisi kerajaan yang memenangkan kaum elit kewangan.

Pemilik modal makan isi, anjing peliharaannya makan kulit dan rakyat marhaen makan tulang.

Yang keduanya, dalam mengisi borang keahlian – mereka bercita – cita di suatu masa nanti mereka akan memiliki kuasa. Memiliki kuasa agar mereka dapat menjaga dalam membantu kaum nelayan, petani, buruh dan pekerja yang miskin.

Golongan ini tidak kemaruk dengan wang ringgit mahupun dolar. Mereka hanya jadi gila bila kaum elit kewangan dan pemilik modal menindas rakyat marhaen. Cukup menyedihkan, bila segelintir golongan ini, pada akhirnya mereka tewas dalam godaan nafsu syaitan.

Tewas dalam perjuangan. Tewas apabila karakternya politik ditamatkan riwayatnya. Terkandas di persimpangan.

Mengenal barua kaum pemodal ini cukup mudah. Bila, Tanah orang asli dijarah dan dirampas haknya, dimana mereka berpijak? Di sebelah orang asli atau saudagar minyak sawit?

Penempatan setinggan dirobohkan – dimana mereka berada? Di sebelah penduduk atau di sebelah pihak pemaju? Namun awas – barua kaum pemodal umpamanya sesumpah. Ke kiri pun boleh, ke kanan pun boleh.

Jadi hitam boleh, bertukar ke putih pun boleh. Ke sana pun jadi, ke sini pun jadi. Putar alam kuat. Ini terserah kepada kebijaksanaan anda dalam pembacaan untuk mengenal barua-barua ini.

Akhir kalam, bercita-cita untuk menubuhkan kerajaan bukan satu jenayah. Bercita-cita untuk menjadi menjadi Perdana Menteri bukan satu jenayah. Memasang angan-angan untuk menjadi Wakil Rakyat bukan satu jenayah.

Bermimpi untuk menjadi Menteri bukan satu jenayah. Yang menjadi jenayah ialah apabila kita berpihak kepada kaum pemodal, muntah kedarah, dan bekerjasama dengan mereka untuk menindas kaum buruh, nelayan dan petani yang miskin.

Jadi pihak yang mana satu anda sokong? – si pembela nelayan, petani, buruh dan pekerja yang miskin atau si barua elit kewangan dan pemilik modal?

Mohon jawab

PENULIS adalah Ketua Penerangan  Bersatu Bahagian Sibuti, Sarawak

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button