Nasional
Polis temukan kunci kereta dipercayai ada kaitan kes Nur Farah Kartini
POLIS menemukan kunci kereta dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah ketika melakukan pencarian bahan bukti di Sungai Trolak Kampung Batu 4, Slim River.
Memetik BERNAMA, kunci itu ditemukan oleh penyelam dari Unit Siasatan Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira pukul 11.20 pagi pada jarak 50 meter daripada jambatan kecil di sungai itu yang dipercayai menjadi lokasi suspek membuang barangan milik mangsa.
Sebelum itu, tiga kenderaan termasuk dua pacuan empat roda tiba di kampung itu bagi menyambung pencarian bahan bukti yang ditangguh pada Jumaat lepas akibat arus deras dan keruh susulan hujan lebat.
Seramai lima penyelam unit tersebut melakukan pencarian pada radius 300 meter dari jambatan berkenaan.
Antara barangan milik Nur Farah Kartini yang dicari pada hari ini difahamkan melibatkan kelengkapan solat, beg duit dan pengecas telefon bimbit.
Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang pada 15 Julai.
Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – SM