POLIS akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang mengatakan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengarah Pengurusannya, Datuk Zaini Jass berkata, dakwaan tersebut tersebar melalui media sosial yang turut mengandungi tohmahan terhadap pihak pengurusan Pulapol KL.
“Jabatan Pengurusan Bukit Aman memandang serius dakwaan/tohmahan tersebut.
“Siasatan telah dimulakan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat perlanggaran SOP atau salah laku seperti yang didakwa,” katanya.
Hari ini, tular di media sosial dakwaan seorang lelaki berhubung pelanggaran SOP di Pulapol melibatkan pihak pengurusan dan pelatih.
Turut diselitkan bersama dakwaan tersebut ialah gambar yang memaparkan pelatih menjalankan aktiviti tanpa mengikut SOP.
Individu itu turut mendakwa pihak pengurusan pusat tersebut membenarkan pelatih merokok dan menghisap vape. -SM