Polis serbu penempatan haram di Batang Kali
POLIS yang menyerbu sebuah penempatan haram dibina dengan khemah plastik di Kampung Ulu Rening, Batang Kali di sini, hari ini, menahan 238 warga tempatan termasuk bayi.
Dalam operasi pukul 5 petang itu, pihaknya menahan 76 lelaki dewasa, 77 wanita serta 85 kanak-kanak dan bayi, yang berada di kawasan hutan yang baru diteroka itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan soal siasat, penduduk terbabit mendakwa, mereka adalah ahli Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara.
“Kita masih siasat persatuan ini dan apa yang kita tahu, mereka ini makan, mandi dan tinggal di kawasan ini.
“Polis masih menyiasat sejak bila kesemua mereka ini berada di kawasan itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu (KKB) di Kuala Kubu Bharu, malam tadi.
Mengenai dakwaan kononnya mereka berada di kawasan itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa, beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.
“Apa yang pasti mereka telah melanggar PKP dan mereka ini datang dari pelbagai negeri, ada Kuala Lumpur, Kelantan, dan lain-lain,” katanya.
Fadzil berkata pemeriksaan kesihatan akan dijalankan terhadap mereka, yang kini ditempatkan di Dewan Serbaguna KKB.
“Pihak Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Daerah KKB, turut membantu proses pemeriksaan kesihatan serta urusan kebajikan mereka,” katanya.
Difahamkan, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 76 lelaki, wanita (77) dan kanak-kanak serta bayi (85) yang berasal dari pelbagai negeri antaranya Kelantan, Pahang, dan Perak.
Tambah Fadzil, buat masa ini polis akan melakukan siasatan lanjut berhubung tujuan mereka membuat penempatan haram tersebut.
“Kita kumpulkan mereka di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Kita juga dah lakukan saringan terhadap mereka yang ditahan dengan kerjasama pihak KKM dan juga JKM,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Peraturan Penyakit-Penyakit Berjangkit 1988. – SM