Polis Perlis tumpu kanak-kanak advokasi keselamatan jalan raya
POLIS Perlis buat pertama kali memilih pelancaran Op Selamat 19 Tahun Baru Cina di sebuah sekolah rendah dalam usaha memberikan tumpuan advokasi keselamatan jalan raya di peringkat kanak-kanak lagi.
Bagaimanapun kata Ketua Polis, Datuk Surina Saad berkata, pendekatan advokasi di peringkat kanak-kanak agak berbeza dengan orang dewasa.
Katanya, advokasi ini bukan sahaja mudah difahami malah boleh diterima oleh anak-anak kecil ini supaya menjadi amalan yang wajib dipatuhi apabila berada di jalan raya.
“Sesuai pula dengan sikap anak kecil yang suka bercakap dan pastinya akan menegur apabila ibu bapa atau penjaga jika dilihat tidak patuh peraturan jalan raya ketika membawa kenderaan,” katanya kepada sidang media.
Sebelum itu Surina melancarkan Op Selamat 19 TBC bersempena Perasmian Karnival Keusahawan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tunjong di Beseri.
Pada majlis ini Surina juga menyampaikan sumbangan untuk murid asnaf dan juga topi keledar.
Sempena dengan program itu diadakan pameran Polis Diraja Malaysia, pameran Tentera Darat Malaysia, pembayaran saman trafik serta juga gerai jualan.
Surina juga menegur sikap penunggang motosikal di negeri ini yang masih gagal mematuhi peraturan jalan raya.
Beliau berkata, ada yang masih enggan memakai topi keledar serta menunggang motosikal secara melawan arus.
“Sikap sebegini bukan sahaja mengundang bahaya pada diri sendiri malah kepada pihak lain,” katanya. – SM