Polis nafi keluar saman terhadap penumpang tidak pakai tali pinggang keledar belakang
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menafikan mesej yang tular di aplikasi WhatsApp berkaitan tindakan saman terhadap penumpang kenderaan yang tidak memakai tali pinggang keledar belakang di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata JSPT tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu.
“JSPT tidak pernah mengeluarkan kenyataan dan menafikan kesahihan mesej bahawa pegawai polis akan membuat pemeriksaan setiap petang di Lebuhraya PLUS bagi mengesan ketidakpatuhan pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang dan pesalah akan dikenakan denda RM300 manakala RM600 untuk dua orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Nadzri menggesa orang ramai segera menghentikan sebarang penyebaran mesej tidak benar dan sentiasa memastikan kesahihah sesuatu mesej tersebut sebelum dimuat naik atau dikongsi di laman sosial dan sebagainya.
Sementara itu, JSPT menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan semua pihak. – BERNAMA