Ekonomi

Ekonomi gig model baharu perniagaan

Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan semasa pandemik COVID-19 melanda negara ini apatah lagi diburukkan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan beberapa sektor tidak penting tidak dibenarkan beroperasi pada tempoh berkenaan.

Pada tempoh awal PKP yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu iaitu ketika wabak penyakit semakin mengganas dan terus menyumbang kepada peningkatan dalam angka kematian setiap hari itu memberikan satu tamparan kepada seluruh dunia yang ketika itu masih tercari-cari penawar dan vaksin.

Ekonomi secara tradisional atau mereka yang masih menggunakan kaedah tradisional menjual barangan atau perkhidmatan seolah-olah ‘lenyap’ seketika akibat pelaksanaan PKP dan menyaksikan ekonomi digital atau ‘ekonomi gig’ tiba-tiba melonjak seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Apa itu ekonomi gig? Banyak persepsi yang timbul apabila istilah ekonomi ini timbul selari dengan peredaran masa. Ekonomi gig adalah satu sistem pasaran bebas yang memberi kebebasan kepada sesuatu organisasi dan pekerja untuk menjalani kontrak tanpa perlu mengajikan pekerja sepenuh masa.

Justeru, anda yang mempunyai sebarang kemahiran boleh bekerja secara fleksibel atau bekerja separuh masa untuk mencari pendapatan tambahan.

Ekonomi gig mula popular sejak dunia dilanda kegawatan ekonomi pada 2008. Kegawatan ekonomi ini memberi kesan kepada seluruh dunia dan tidak ketinggalan kuasa besar seperti Amerika Syarikat sehingga mencetuskan satu trend pekerjaan secara digital menerusi kegiatan ekonomi yang dikongsi bersama.

Akibat kesan kegawatan ekonomi itu, secara perlahan-lahan wujud beberapa platform penyedia perkhidmatan digital seperti perkhidmatan e-hailing seperti Uber, perkhidmatan sewa rumah AirBnB dan pelbagai lagi perkhidmatan yang mula wujud selari dengan kecanggihan telefon pintar.

Apabila wujud platform digital ini, ia bukan sahaja memberikan kemudahan, keselesaan dan membolehkan orang ramai terus kekal selamat dengan tinggal di rumah tanpa keluar untuk membeli barangan keperluan khususnya ketika wabak COVID-19 melanda.

Bak kata pepatah moden ‘segalanya kini dihujung jari’ apa sahaja yang anda perlukan boleh diperolehi dengan hanya menekan butang di telefon pintar atau di jam tangan pintar anda.

Anda mahu menempah kereta sewa mengikut jam, mendapatkan perkhidmatan e-hailing, membeli makanan atau minuman kegemaran, tempah hotel dan apa-apa sahaja boleh dilakukan pada bila-bila masa atau dimana jua. Mudah bukan?

Maka tidak hairanlah, ramai usahawan atau sektor perniagaan yang sebelum ini beroperasi secara tradisional mula mengaplikasikan normal baharu iaitu sistem ekonomi digital menerusi ledakan aplikasi yang ditawarkan ditelefon pintar. Anda akan dianggap ‘kolot’ atau ketinggalan jika tidak mempunyai telefon pintar.

Berdasarkan undian atas talian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Poll UCSI pada 20 hingga 30 Julai tahun lalu mendapati sebanyak 48 peratus daripada 858 responden bersetuju bahawa kehilangan pekerjaan adalah peluang untuk mereka bekerja sendiri.

Apabila ditanya adakah tawaran skim pemisahan sukarela (VSS) akan menjadi alasan untuk mereka berhenti kerja, seramai 41.8 peratus responden bersikap berkecuali dan 40.2 peratus responden bersetuju.

Melihat kepada hasil undian itu, boleh digambarkan bahawa bekerja sendiri mungkin menjadi pilihan dalam meneruskan kelangsungan hidup khususnya mereka yang tinggal dibandar raya besar seperti Kuala Lumpur.

Jika ada yang masih bekerja mungkin pendapatan mereka tidak mencukupi dan mencari pendapatan tambahan dengan bekerja secara separuh masa menjadi pilihan kepada rata-rata penghuni kota.

‘Rezeki tidak akan datang bergolek jika kita tidak berusaha’ dan banyak sebenarnya peluang pekerjaan separuh masa yang boleh diceburi malah permintaan terhadap perkhidmatan dalam ‘ekonomi gig’ ini semakin meningkat setiap hari serta buktinya dapat dilihat di jalan-jalan raya seluruh negara.

Penunggang motosikal atau rider dilihat membawa beg yang bertulis dengan jenama mewakili syarikat masing-masing.

Salah satu daripadanya mungkin menjadi pemandu e-hailing seperti Grab atau MyCar atau menjadi penghantar makanan iaitu GrabFood, Foodpanda atau Dahmakan. Tidak ketinggalan menjadi penghantar barangan, surat mahupun bekerja sebagai pembeli peribadi ‘personal shopper’.

Begitu juga, jika dahulu kita sering bergantung kepada perkhidmatan teksi, ramai pengguna beralih kepada perkhidmatan e-hailing yang lebih selesa, mudah dan perjalanan senang dipantau menerusi paparan peta di telefon pintar.

Penggunaan aplikasi e-hailing misalnya membolehkan seorang bapa membuat tempahan untuk menghantar anaknya di sekolah pulang ke rumah hanya menekan butang telefon pintarnya di pejabatnya dan memantau perjalanan anaknya sehingga sampai ke rumah.

Semua butiran lengkap mengenai pemandu juga dipaparkan sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku sepanjang perjalanan atau boleh terus menghubungi pemandu kereta berkenaan.

Perkhidmatan teksi ibarat ‘Ayah dan e-hailing ibarat anak’. Jika dahulu, ayah memandu teksi tetapi kini ayah pula menyuruh anaknya memandu e-hailing secara separuh masa untuk menyara keluarga.

Grab Malaysia dalam satu analisa dijalankan misalnya mendapati kos perniagaan dapat dikurangkan sehingga 30 peratus manakala perolehan meningkat 70 peratus berbanding cara tradisional.

Penggunaan perkhidmatan ini juga memberikan satu kemudahan kepada mereka yang tidak mampu memiliki kenderaan atau memilih tidak mahu memandu ke pejabat atau ke stesen pengangkutan awam.

Grab, syarikat perkhidmatan teknologi tempatan yang sudah beroperasi sejak lapan tahun lalu juga menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai seperti E-wallet sekali gus merancakkan ekonomi gig di negara ini.

Presiden Grab, Ming-Maa dipetik dalam satu laporan media berkata, perniagaan teras melonjak khususnya ketika wabak COVID-19 melanda iaitu melebihi 100 peratus daripada tahap pra-COVID-19.

Beliau berkata, pertumbuhan pendapatan bersih kumpulan berkembang kira-kira 70 peratus berdasarkan tahun-ke-tahun pada 2020 berbanding 2019.

“Grab juga berjaya membawa masuk kira-kira 600,000 peruncit baru di seluruh Asia Tenggara ke dalam platform dalam talian pada tahun lalu dengan peningkatan lebih dua kai ganda,” katanya.

Terbaharu, konsortium Grab dengan Singtel telah diberikan lesen penuh bank digital oleh pihak berkuasa kewangan Singapura. Perbankan digital itu dijangka beroperasi bermula 2022 yang akan memacu pelan kewangan kumpulan Grab untuk menyediakan perkhidmatan kepada individu dan syarikat PKS di Singapura.

Meskipun ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan kewujudan perkhidmatan e-hailing yang menyediakan pilihan kenderaan yang lebih selesa, kita sepatutnya sedar bahawa ini semuanya berlaku mengikut kehendak pasaran yang semakin canggih.

Citarasa pengguna masa kini semakin meningkat dan rata-rata mereka mempunyai tahap kesedaran tinggi kepada pendedahan teknologi masa kini malah anak-anak kecil serta remaja juga sudah pandai menggunakan telefon pintar.

Orang ramai atau masyarakat umum kini sudah boleh menyesuaikan diri dan tentu sekali kuasa memilih atau membeli adalah di tangan mereka.

Penulis difahamkan, ramai pemandu teksi mendaftar untuk menjadi pemandu e-hailing iaitu kira-kira 17,000 orang daripada jumlah keseluruhan 40,000 orang. Bagaimanapun, daripada 17,000 yang mendaftar, hanya kira-kira 4,000 hingga 5,000 yang aktif membawa Grab manakala selebihnya tidak lagi aktif.

Ada juga yang memiliki permit teksi tetapi berhenti memandu mungkin disebabkan beberapa faktor seperti kereta berkenaan disewa, kenderaan sudah berusia, tidak mahir menggunakan aplikasi dan sebagainya.

Justeru, dalam hal ini pemandu e-hailing tidak harus dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka melakukan demikian semata-mata untuk mencari rezeki halal dan menyara keluarga. Peluang dalam ekonomi baharu ini boleh direbut dan dimanfaat oleh sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa atau agama.

Dalam menuju sebuah negara yang maju, sikap hasad dengki harus dikikis tetapi perlu menanamkan sikap merebut peluang dan bersaing dengan sihat.

Bagaimanapun, sekiranya anda seorang pemandu teksi pula, sebenarnya sudah ada beberapa syarikat teksi yang kini beralih kepada penggunaan kaedah tempahan menggunakan aplikasi e-hailing.

Malah, untuk menyahut seruan kerajaan melalui Akta Pengangkutan Awam (2017), MyCar misalnya menggabungkan perkhidmatan teksi dalam platform MyCar.

MyCarCab adalah pilihan terbaru dalam aplikasi MyCar, di mana pelanggan boleh terus menempah untuk mendapatkan perkhidmatan teksi saja.

Manakala MyCarNow pula adalah tempahan untuk cari kenderaan paling dekat dan cepat, sama ada teksi (MyCarCab) atau kenderaan peribadi (MyCarEconomy).

Apa yang penting di sini, ialah berusaha menerima hakikat untuk mengubah bentuk perniagaan atau perkhidmatan selari dengan kepesatan teknologi masa kini dan tidak bergantung kepada ehsan serta bantuan kerajaan semata-mata.

Memberi contoh, jika anda seorang peniaga nasi lemak dan mengharapkan hasil jualan semata-mata daripada pelanggan yang singgah di gerai anda di tepi jalan setiap hari.

Bagaimanapun, mana yang lebih untung jika anda seorang peniaga yang sama tetapi membuka tempahan menerusi dalam talian? Tentu sekali mereka yang menawarkan tempahan dalam talian dan menyediakan perkhidmatan penghantaran akan lebih untung.

Perkhidmatan e-hailing seperti Grab atau MyCar adalah antara sumber pendapatan alternatif terbaik yang ada pada masa sekarang khususnya mereka yang tinggal di kawasan bandar kerana permintaan terhadap perkhidmatan ini sentiasa ada dan semakin berkembang.

Perkhidmatan e-hailing ini tidak lagi tertumpu membawa penumpang tetapi juga membawa barangan dari satu destinasi ke destinasi lain dengan mudah. Fungsi perkhidmatan ini semakin meluas dan tidak mustahil satu hari nanti mungkin mereka akan menawarkan perkhidmatan membawa haiwan peliharaan anda untuk mendapatkan rawatan di klinik haiwan. Tiada yang mustahil dalam dunia era teknologi masa kini!

(Visited 735 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button