Polis ‘mengorat’ pun nak suruh Rina Harun bersuara?
TINDAKAN Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk bersuara dalam kes seorang anggota polis menghantar mesej ‘mengorat’ terhadap individu yang ditahan dianggap tidak kena pada tempatnya.
Fahmi dalam hantaran di Facebooknya berkata, Datuk Seri Rina Mohd. Harun sepatutnya menjadi orang pertama bersuara mengesa pihak berkuasa menyiasat insiden tersebut yang disifatkan sebagai gangguan seksual selain pelanggaran privasi.
“Sejak dua hari lepas, tular tweet maklumat peribadi yang didakwa disalahguna seorang anggota polis di sekatan jalan raya. Twitter rasmi PDRM telah menghubungi pemilik akaun Twitter tersebut untuk semakan/siasatan lanjut, dan saya pasti pihak berkuasa akan ambil tindakan jika perlu.
“Yang saya kesali, dalam isu seperti ini, seharusnya menteri Rina Mohd Harun antara yang pertama bersuara meminta siasatan – sama ada berkaitan pelanggaran privasi, gangguan seksual, atau lain-lain aspek – untuk mendapatkan kepastian dalam isu ini.
“Di mana beliau? Terus diam seribu bahasa. RUU Gangguan Seksual yang sepatutnya beliau perjuangkan di Parlimen juga entah ke mana,” kata Fahmi di Facebooknya hari ini.
Dalam ruangan komen pada hantarannya itu, warganet memberi pandangan bahawa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat itu tidak sepatutnya mempolitikkan kes tersebut.
“Betul la polis yang siasat. Nak suruh menteri pergi siasat polis tu ke? Hukum belom jatuh YB. Macam mana yang dok sibuk pegang buku peraturan Parlimen, tapi tak tau peraturan dekat luar ni. Modal tak ada dah kot,” komen Emir Hj. Ismail.
“Ini pun MP Lembah Pantai nak politikkan. Polis tersebut hanya melanggar etika sebagai anggota polis sahaja bukannya gangguan seksual. Berat sungguh tuduhan YB Lembah Pantai ni.
Jangan la berpolitik kepada penjawat Awam wahai YB kasihan mereka,” kata Sham Murad Sulaiman.
Bagaimanapun ada juga yang mahu tindakan tegas diambil terhadap anggota terbabit kerana menyalahgunakan data daripada individu yang diperiksa untuk tujuan peribadi.
“Ramai lagi yang kena macam ni, polis harus ada integriti. Kalau betul-betul nak berkenalan gentlemen cakap awal-awal nak ambil nombo telefon untuk tujuan peribadi. Itu yang nak berkenalan, kalau dia ambil no telefon untuk buat benda lain, tak mustahil. Ini salah satu je, ramai lagi yang pernah kena,” kata Azila Ahmad.
Sementara itu polis sedang menyiasat berhubung kejadian itu.
Dalam ciapan di Twitter, akaun rasmi polis, @PDRMsia membalas ciapan yang dikirim akaun @nnnadzifah, yang menceritakan kejadian itu.
Wanita itu sebelum ini menceritakan bahawa dia ditahan di sekatan jalan di mana seorang anggota polis yang bertugas menahannya dan mencatat maklumat peribadinya termasuk nombor telefon.
Selepas memaklumkan dia hendak pergi membeli barang, dia dibenarkan beredar. Namun, menurutnya, dia kemudian dihubungi oleh seseorang yang mendakwa merupakan anggota polis yang menahannya di sekatan jalan tadi.
Bertanya kenapa dia dihubungi, balasan yang diterima adalah: “Sajalah, nak kenal, boleh?”-SM