Jenayah

Polis jumpa stor dadah, rampas dadah bernilai lebih RM4.3 juta

Polis menemukan stor dadah milik satu sindiket dan merampas pelbagai dadah bernilai lebih daripada RM4.3 juta dalam dua serbuan berasingan di Kepong dan Seri Kembangan di sini pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata pihaknyanya menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun pada jam 4.30 petang di Jalan Metro Perdana, Barat 7, Kepong, Jumaat.

Katanya, berikutan penahanan itu, polis merampas 1.03 kilogram (kg) methamphetamine, 230 gram pil erimin 5, 192 gram pil ekstasi, sebuah kereta sedan jenis Toyota dan wang tunai RM400.

“Soal siasat polis terhadap suspek lelaki tersebut berjaya menahan dua lagi suspek lelaki berusia 20 tahun pada hari Sabtu pada jam 7.45 malam di Jalan Indah Seri Kembangan dan merampas wang tunai RM106,166.

“Pada hari yang sama, hasil soal siasat dari dua tangkapan itu, polis dibawa ke sebuah kediaman di Seri Kembangan dan menemukan pelbagai jenis dadah haram yang disimpan di dalam premis itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)  Kuala Lumpur, semalam.

Saiful Azly berkata polis menemukan 680 gram methamphetamine, 48,250 pil erimin 5, 3,710 gram pil ekstasi, 12,210 gram serbuk MDMA, 12,500ml cecair MDMA, 80 gram ganja, 8,920 gram ketamin, kenderaan pelbagai guna Toyota (MPV) dan wang tunai RM53,800.

Katanya, jumlah dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 195,480 pengguna.

“Ketiga-tiga suspek secara aktif mengedar dadah di kawasan Lembah Klang sejak dua bulan lalu dan dengan penangkapan ini, polis berjaya menumpaskan sindiket dadah ini yang didalangi warga tempatan,” katanya.

Beliau berkata hasil ujian air kencing menunjukkan ketiga-tiga suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Semua suspek direman selama tujuh hari dari 9 hingga 15 Jan di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang menjatuhkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button