JenayahNasional

Polis cari empat individu hina dan aibkan OKU

NATIJAH mempersendakan golongan orang kurang upaya (OKU) dengan perbuatan yang mengaibkan kerana mengajuk dan berpura-pura menjadi cacat, polis memburu empat individu yang menjadi ‘popular’ dalam sekelip mata.

Ketua Polis Daerah Sentul, Assisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihak polis telah menerima aduan daripada seorang wanita semasa berada di Parlimen.

Beliau berkata, kesemua suspek sedang dikesan berdasarkan maklumat yang disalurkan kepada pihak polis.

Kes ini, katanya, diklasifikasikan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

Mengikut seksyen tersebut kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan menggunakan media sosial secara tidak wajar.

“Polis menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat, boleh hubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206.

Menurut Eng Lai, pengadu menonton dua klip video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok, mempersendakan OKU dan menyalahgunakan kemudahan OKU iaitu parkir khas di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur.

Pelaku tersebut yang dikenali sebagai Ajim, berpura-pura berlakon menjadi orang OKU dan merakamkan perbuatannya.

Eng Lai memberi pencerahan, video pertama membabitkan dua lelaki yang mengajuk perbuatan OKU di tempat letak kereta OKU di Mid Valley Megamall, Bangsar dengan menggunakan bahasa kasar serta tidak sopan.

Manakala, katanya, bagi video kedua, mengenai dua wanita yang menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak sambil mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang sambil ketawa.

Beliau berkata, pengadu membuat laporan polis untuk siasatan lanjut kerana beranggapan kesemua individu berkenaan menghina komuniti OKU di Malaysia secara terang-terangan dan menggunakan warga OKU sebagai bahan untuk menarik perhatian pengguna di media sosial. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button