Nasional

Polis buru individu terlibat dalam video dakwa pemanah negara maut akibat vaksin Astrazaneca

POLIS sedang mengesan suspek yang terliba dalam rakaman video tular yang mendakwa pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin meninggal dunia akibat pengambilan vaksin Astrazeneca.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan video tersebut pada 22 Mei lalu.

“Laporan dibuat oleh seorang pelajar perempuan yang telah melihat rakaman video tersebut.

“Video tersebut didakwa memaparkan berita palsu mengenai vaksin Astrazeneca dan kematian Allahyarham Haziq,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, video itu juga memaparkan tuduhan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan punca kematian arwah yang berpunca daripada saluran darah tersumbat akibat pengambilan vaksin Astrazeneca dan menyembunyikan punca sebenar kematian

Jelasnya, video itu juga memberitahu yang laporan kes positif Covid-19 oleh KKM adalah tidak tepat.

“Kita sedang mengesan suspek yang terlibat dalam rakaman video tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998.

“Orang ramai diseru tidak sewenang-wenang mengulas atau menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih. Tindakan ini boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat amnya,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button