Nasional

Polis akan ambil keterangan pemilik akaun Twitter dakwa hakim kes Najib ada pertalian saudara dengan Tun M

SEJAK kebelakangan ini terlalu banyak berita palsu yang disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan termasuklah yang membabitkan hakim yang menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman penjara 72 tahun penjara ke atas Najib selepas didapati bersalah ke atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, penyelewengan dan dan pengubahan wang haram dikatakan mempunyai pertalian persaudaraan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

BACA>> Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

Bernama melaporkan Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata individu itu akan dipanggil minggu depan bagi memberi keterangan berhubung dakwaan tersebut.

“Kita sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun Twitter itu dan akan panggil minggu depan untuk rakam percakapan,” katanya.

Related Articles

Beliau berkata siasatan dijalankan selepas satu laporan polis diterima di Taiping, Perak semalam dan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung kes itu mengikut Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, media melaporkan bahawa seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Afzanizam Abdul Rahman membuat laporan polis di Taiping berhubung satu ciapan oleh Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia Ramesh Rao di akaun Twitter.

Pada Selasa lepas, Ramesh mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan Najib dengan tujuh kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram adalah cucu saudara Mahathir.

Menerusi akaun Twitter, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga anak Ahli Parlimen Langkawi itu menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia sebagai tidak berasas serta meminta Peguam Negara menyiasat tohmahan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, polis akan menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung siasatan terhadap warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang terbabit dengan penyiaran dokumentari terbitan Al Jazeera yang disyaki berniat memburukkan Malaysia.

Mior Faridalathrash berkata tindakan selanjutnya akan ditentukan Pejabat Peguam Negara selepas polis mengambil keterangan Md Rayhan sejak 28 Julai lepas.

“Proses keterangan daripada lelaki itu sudah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara minggu depan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Md Rayhan ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai selepas Jabatan Imigresen memohon bantuan orang awam menjejaki individu itu yang muncul dalam dokumentari Al Jazeera.

Menerusi dokumentari itu, Md Rayhan membuat kenyataan mengenai layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Pada 25 Julai, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata lelaki itu akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button