Mahkamah

Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan guna kuasa.

Hakim Mahkamah Tingggi Kuala Lumpur  Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman tersebut sebentar tadi.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga tuduhan pecah amanah, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun.

Semua hukuman penjara dijalankan serentak. Tidak ada denda untuk tuduhan pengubahan wang haram.

Dalam keputusan hari ini Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Perbicaraan bermula pada 3 April 2019 dengan pendakwaan memanggil 57 saksi sebelum menutup kesnya pada 27 Ogos tahun sama.

Pada 11 November 2019, Najib diarahkan membela diri atas kesemua pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ‘prima facie’ terhadapnya.

Pada 3 Disember 2019, Najib memberi keterangan sebagai saksi pertama pembelaan untuk menjawab pertuduhan terhadapnya dengan membaca penyataan saksi setebal 243 muka surat.

Pada 5 Jun lalu, mahkamah menetapkan hari ini untuk mengumumkan keputusan dalam kes itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan yang bermula pada 1 Jun.

Pertama kali Najib dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018 atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Pada 8 Ogos 2018, Najib sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.-SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button