PNB perlu kekal releven tingkatkan ekonomi bumiputera – PM
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengingatkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) agar terus kekal releven dalam peranannya meningkatkan kekuatan ekonomi bumiputera dan rakyat Malaysia.
Menurut Muhyiddin, beliau membuat penekanan tersebut kerana PBN merupakan institusi pelaburan distinktif dan syarikat pengurusan dana terbesar negara serta bertaraf dunia bertaraf dunia.
Penekanan itu dibuat Muhyiddin ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) di bangunan PNB di ibu negara.
Mesyuarat itu kali kedua dihadiri beliau sejak dilantik sebagai Pengerusi YPB pada April lalu.
“YPB melalui anak syarikatnya PUNB pula akan terus memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada usahawan bumiputera supaya pandemik COVID-19 tidak memberi kesan berpanjangan kepada golongan terbabit,” tegas Muhyiddin.
Turut serta Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPB iaitu Tan Sri Dr Zeti Aziz dan Tan Sri Ambrin Buang.
Juga hadir Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Ahmad Zulqarnain Onn serta Pengerusi PUNB Tan Sri Noh Omar dan Ketua Eksekutifnya Izwan Zainuddin.
Dalam mesyuarat itu Muhyiddin turut diberi penerangan berkaitan aktiviti ekonomi di bawah kendalian PNB.
“Saya juga tertarik dengan perkembangan pembinaan projek Menara Merdeka 118.
“Saya difahamkan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun depan dan PNB akan memindahkan operasinya ke bangunan baharu tersebut,” kata Muhyiddin.
Sejurus selesai mesyuarat Muhyiddin kemudiannya menyaksikan majlis pengagihan keuntungan sebanyak RM120 juta Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) kepada YPB.
Agihan itu adalah untuk manfaat pemegang unit bumiputera dalam dana amanah yang diuruskan oleh PNB.-SM