PN terpaksa tunduk desakan pro-PH bantah kuarantin balik dari Sabah
AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Kerajaan Perikatan Nasional terpaksa tunduk desakan kumpulan pro Pakatan Harapan yang membantah kuarantin dikenakan terhadap mereka yang pulang dari Sabah pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.
Menurut Najib, ketika PRN Sabah sedang berlangsung, kumpulan pro-PH seperti BERSIH yang telah membantah cadangan Menteri Kesihatan untuk melaksanakan kuarantin wajib kerana ia akan hentikan penyokong PH dari semenanjung untuk pulang mengundi di Sabah.
“Saya percaya kerajaan PN terpaksa tunduk pada ugutan ini sebab tidak mahu PH menjadikan ini sebagai satu isu hangat PRN dengan menuduh kerajaan pusat PN telah membelakangani demokrasi serta merampas hak mengundi warga Sabah.
“Jika masa itu PH menyokong kerajaan PN untuk mulakan kuarantin wajib lebih awal dan tidak membantah, lebih ramai kes Covid di semenanjung yang berasal dari Sabah mampu dielak,” kata Najib.
Najib mengulas tindakan banyak pihak yang mengkritik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang kononnya melanggar kuarantin selepas pulang dari Sabah dan menghadiri banyak acara awam.
“Tapi dia pulang dari Sabah pada 24 September iaitu sebelum arahan saringan dan kuarantin wajib bagi semua yang pulang dari Sabah dikeluarkan pada 26 September,” kata Najib.
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan media pada 12 September berpandangan bahawa sebarang pengenaan 14 hari kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke semenanjung dari Sabah akan memudarkan semangat orang Sabah yang ingin pulang Sabah untuk mengundi.
Menurut Bersih, kos kuarantin sangat membebankan kepada golongan tersebut memandangkan kos penerbangan pulang ke kampung halaman untuk mengundi adalah sangat tinggi.
“Perkara ini juga akan memberi kesan kepada ahli politik, pekerja parti, pegawai dan pekerja SPR dan pemerhati pilihan raya daripada NGO yang akan ke Sabah untuk terlibat sama dalam pelbagai aspek pilihan raya.
“Sekiranya kuarantin wajib ini diwajibkan kepada semua tanpa pengecualian, ini akan memberi kesan yang sangat besar terhadap kefungsian institusi-institusi dan pertubuhan-pertubuhan tersebut.
“Kami menyeru KKM dan MKN untuk membuat pertimbangan yang cermat sebelum membuat keputusan melaksanakan tempoh 14 hari kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang dari Sabah ke semenanjung memandangkan sebenarnya penularan wabak hanya tertumpu di penjara daerah Lahad Datu dan Tawau,” kata Bersih 2.0.
Bersih berkata, pandemik tersebut menunjukkan keperluan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya menyediakan pengundian pos atau undi tidak hadir kepada pengundi yang tidak dapat mengundi di kawasan pengundian mereka disebabkan terpaksa tinggal jauh atas faktor pekerjaan dan pengajian.
Turut dilaporkan mempersoalkan kuarantin wajib tersebut adalah Ahli Parlimen (DAP) Seputeh, Teresa Kok.
“Saya amat prihatin terhadap kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bahawa Kementerian Kesihatan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas menjalankan urusan pilihanraya negeri Sabah.
“Walaupun kenyataan ini kemudian dinafikan oleh Menteri Kanan Ismail Sabri, tetapi ia telah membangkitkan persoalan sama ada kerajaan PN ingin menggunakan wabak Covid-19 sebagai alasan untuk menghalang pengundi Sabah untuk membuang undi di Sabah,” kata Teresa pada 13 September.-SM