Sukan

Revington kembali ke pangkuan Malaysia

Tinggalkan Malaysia kerana menghidap barah otak

BEKAS ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Paul Revington kembali ke pangkuan Malaysia setelah dia dilantik sebagai Pengarah Teknikal (Pembangunan) Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Jurulatih berasal dari Afrika Selatan itu pernah menerajui skuad kebangsaan pada 2014 dan berjaya membawa Malaysia beraksi dalam Piala Dunia pada tahun yang sama di The Hague, Belanda .

Namun, jodoh Revington bersama KHM tidak panjang apabila jurulatih itu mengundurkan dirinya secara tiba-tiba dan pemergiannya meninggalkan begitu banyak persoalan yang tidak terjawab.

Revington sebelum ini pernah mendedahkan sebab musabab dia bertindak demikian dan dalam sidang media di ibu negara semalam, dia sekali lagi menegaskan bahawa punca peletakan jawatannya pada 2014 kerana masalah kesihatannya yang merosot sehingga mendorong kepada keputusan drastiknya itu.

Revington yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai ketua jurulatih program pembangunan elit skuad wanita Great Britain berkata, pada ketika itu dia amat memerlukan rehat dan setahun selepas itu dia disahkan menghidap penyakit barah otak.

Namun, Revington kini kembali sihat setelah menjalani pembedahan bagi merawat penyakitnya itu.

Nampaknya, jodoh Revington bersama Malaysia masih ada apabila Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal sendiri mengesahkan bahawa jurulatih berpengalaman itu bukan sahaja bertanggungjawab menyelia pembangunan di peringkat akar umbi di negara ini, malah turut memainkan peranan sebagai Pengarah Skuad Projek Khas 2026.

Revington menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama KHM sehingga 2023 dan akan memulakan tugasnya dengan segera.

Subahan memberitahu, pihaknya telahpun mengadakan pertemuan dengan semua jurulatih untuk berbincang tentang hala tuju masa depan hoki negara.

“Jadi, mereka jelas mengenai apa yang kami harapkan daripada mereka. Saya harap pada tahun-tahun akan datang, kami akan dapat mencari lebih ramai pemain muda dan berbakat untuk kesinambungan dalam program kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Revington turut memanfaatkan kesempatan yang ada bagi menafikan tentang khabar angin yang pernah tersebar kononnya dia meninggalkan skuad kebangsaan kerana perselisihan faham dengan jurulatih tempatan lain.

“Keputusan untuk kembali kerana percaya ia satu peluang baik buat saya,” katanya.

Tugas pertama Revington adalah untuk membantu skuad hoki remaja lelaki negara layak pada Kejohanan Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 di India menerusi Kejohanan Hoki Remaja Asia 2021 di Dhaka, Bangladesh yang dijadual bermula dari 21 hingga 30 Januari.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bagaimanapun, masih belum mengumumkan venue dan tarikh kejohanan Piala Dunia di India.

Pada sidang media itu juga, Subahan turut mengumumkan pelantikan bekas kapten skuad wanita kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani sebagai Pengurus Skuad Projek Khas Wanita, manakala bekas pemain kebangsaan, I.Vikneswaran dilantik sebagai Pengurus Skuad Projek Khas Lelaki. – SM

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button