Politik

PN jatuhkan kerajaan: Hadi Awang disiasat USJT Bukit Aman

SIASATAN terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan beliau yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menjatuhkan kerajaan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ketua Polis Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan terhadap Ahli Parlimen Marang itu yang dibuat oleh Pemuda Amanah dan Pemuda PKR Selangor di IPD Dang Wangi semalam.

“Kes berkenaan akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya ringkas dalam sidang media di IPD Sentul, ketika diminta mengulas perkembangan isu itu, seperti mana dilaporkan FMT hari ini.

Laporan polis dibuat Exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminol Huda dan Ketua PKR Selangor, Izuan Kasim berhubung kenyataan Hadi yang mengaku terdapat usaha dijalankan PN dan parti blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadi pada Isnin lalu ketika ditemu bual media di Parlimen berkata, tiada sesiapa pun boleh menghalang usaha PN itu berdasarkan sistem demokrasi yang diamalkan Malaysia dan ia boleh dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya atau akuan berkanun (SD).  – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button