PM tolakkan kerusi roda bekas bos
PEPATAH Melayu ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya bermaksud Orang besar yang merendahkan diri tidak akan jatuh martabatnya.
Begitulah yang boleh diibaratkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismali Sabri Yaakob yang membantu menolak kerusi roda yang diduduki oleh bekas bosnya, Tan Sri Sabbaruddin Chik yang kini berusia 80 tahun.
Ismail Sabri menjadi Setiausaha Politik kepada Sabaruddin ketika menjawat jawatan Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan pada 1995.
Foto beliau menolak kerusi roda berkenaan dirakam dalam satu majlis makan, malam tadi dan dikongsikan oleh di Facebook oleh Datuk Mohd. Anuar Mohd. Yunos.
“Ketika pulang, Datuk Seri Ismail Sabri turut merendah diri membantu menolak kerusi roda Tan Sri Sabbaruddin Chik ke kenderaannya, menjadikan satu momen yang cukup indah bagaimana seorang anak murid yang kini bergelar Perdana Menteri mengenang budi dan jasa bekas bossnya.
“Melihat layanan YAB PM itu, mengingatkan saya satu perkara iaitu ‘apa guna ilmu yang dimiliki setinggi langit andai diri tidak dihiasi dengan adab mulia’. Masih terlalu cetek ilmu saya dalam politik berbanding YAB PM,” kata Mohd. Anuar menerusi perkongsian tersebut.
Mohd Anuar yang merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, pada pertemuan selama hampir dua jam itu kedua-duanya berbual pelbagai perkara termasuk mengenang kisah lama, cerita suka-duka dan pahit-manis dalam politik.
Mereka turut berbincang mengenai senario politik terkini termasuk konsep Keluarga Malaysia yang dibawa dalam pentadbiran kerajaan hari ini.-SM