PM puas hati MoU Kerajaan, PH amankan Parlimen, negara
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpuas hati dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu.
MoU tersebut menurut Ismail Sabri menjadikan perbahasan di Dewan Rakyat lebih profesional dan tenang berbanding dahulu.
“Saya berpuas hati kalau saya tengok keadaan tenang di Parlimen, secara professional, tidak ada banyak gangguan, jerit-menjerit seperti dahulu lagi.
“Keadaan tenang. Kita saling menghormati antara satu sama lain. Saya dah beritahu pembangkang, kerajaan perlukan pembangkang sebagai semak dan imbang atau check and balance kepada apa yang dilaksanakan kerajaan. Itu juga perlu,” kata Ismail Sabri dalam program Ekskusif Bersama Perdana Menteri malam ini.
Tambah beliau MoU itu turut menyumbang keamanan di luar Dewan Rakyat.
Keadaan yang tenang tanpa terlalu banyak politiking membolehkan kerajaan menumpukan tenaga dan kerja untuk memulihkan negara.
“Kalau kita lihat bukan sahaja tenang di Parlimen, tetapi juga tenang di luar. Jadi ini, objektif kita tandatangani itu supaya tidak ada lagi terlalu banyak politicking, pertelagahan, akhirnya membolehkan kerajaan menumpukan sepenuh tenaga kita, untuk negara.
“Pertamanya dari segi selesaikan COVID-19, kedua pulihkan ekonomi negara yang terjejas, dan menjayakan RMK-12,” katanya.
Mengenai beberapa perbincangan sedang dijalankan dengan parti pembangkang yang masih belum lagi menandatangani MoU tersebut.
Ismail Sabri berkata, terdapat beberapa ahli Parlimen pembangkang yang bersetuju untuk menandatangani MoU berkenaan.
Mungkin mereka belum tandatangani, ada lagi individu dan parti. Tetapi perbincangan sedang berjalan. Di kalangan mereka ada yang sudah bersetuju.
“Sasaran saya semua parti pembangkang menandatangani. Inklusiviti bukan setakat kaum, agama dan sebagainya, tapi dari segi fahaman politik. Kita sama-sama membina negara,” kata Ismail Sabri.
Menurut beliau, suasana aman dan tenang yang dialami negara ketika ini merupakan politik baharu kepada negara.
Ismail Sabri berkata, untuk mencapai sasaran Rancangan Malaysia ke-12 memerlukan dokongan dan sokongan daripada semua pihak.-SM