Nasional

Muhyiddin bangga bekas pesakit COVID-19 tampil bantu pesakit lain

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan rasa bangga beliau terhadap seorang bekas pesakit COVID-19 yang kini tampil memainkan peranan membantu mangsa wabak itu selepas dia disahkan sembuh oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Hari ini saya menerima kunjungan saudara Rosli Dahlan, seorang peguam yang juga Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad (UDA), yang telah sembuh daripada jangkitan COVID-19,” katanya dalam catatan terkini di Facebook beliau malam ini.

Muhyiddin berkata Rosli, yang juga Pemegang Amanah Yayasan NAMA, telah menemui beliau untuk menyampaikan sendiri sumbangan RM150,000 daripada pihak yayasan.

Beliau berkata pada awal Mac lepas, UDA menjadi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) paling teruk menerima kesan apabila beberapa ahli pengurusan tertinggi mereka diuji positif COVID-19.

“Mereka dikuarantin di hospital, dengan majoriti ditempatkan di Hospital Sungai Buloh, iaitu hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit,” katanya.

Perdana menteri berkata UDA telah bermurah hati menghulurkan sumbangan untuk menaik taraf beberapa wad kuarantin di beberapa hospital bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes pada pertengahan April.

“Saya difahamkan ada dalam kalangan bekas pesakit kakitangan UDA yang terlibat membantu projek vaksin serum darah. Sekiranya projek ini berjaya, mereka ini akan menjadi penyelamat.

“Jika seluruh dunia boleh bersatu melawan COVID-19, maka saya berharap rakyat Malaysia juga mampu melakukannya,” kata beliau. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button